Liga Super 2011 bermula 15 Januari
Perlawanan Liga Super kekal berlangsung pada setiap Sabtu dan Selasa
LIGA Malaysia bagi musim 2011 bermula saingan Liga Super akan membuka tirainya pada 15 Januari depan, manakala hari perlawanan kekal pada setiap Sabtu dan Selasa, tidak sebagaimana pengumuman awal FAM yang sebelum ini memaklumkan ia bermula pada 8 Januari dan bakal diadakan pada Isnin dan Jumaat bagi mengelak pertembungan dengan aksi Liga Eropah.
Serentak perlawanan pembukaan itu turut dilangsungkan perlawanan merebut Piala Sumbangsih (Piala Sultan Hj Ahmad Shah) pada tarikh yang sama antara Juara Liga Super 2010, Selangor dan Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan di Stadium Shah Alam.
Mengenai status pasukan, FAM mengesahkan tiada pasukan yang akan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akibat tidak membayar caruman pemain kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM dimaklumkan bahawa kesemua pasukan telah menjelaskan baki caruman kepada KWSP atau membayar secara ansuran.
Hamidin berkata, FAM berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan terlibat dalam menyelesaikan tunggakan KWSP pemain, namun masih ada beberapa perkara kecil yang kini dalam proses penyelesaian akhir.
“Hampir setiap tahun sejak Liga M diperkenalkan pada 1994, masalah pasukan membayar caruman KWSP pemain timbul, sehingga mencecah angka RM5.4 juta
“Sebelum ini, kita telah menetapkan piawaian perlu dipatuhi oleh pasukan yang bermasalah bagi menyelesaikan masalah jika ingin bertanding pada musim hadapan.
“Saya rasa gembira apabila ia mendapat tindak balas positif daripada semua pasukan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Hamidin berkata, FAM akan memastikan pada masa hadapan, kebajikan pemain bola sepak tempatan akan lebih terjamin apabila kesemua pasukan mengambil berat tentang pembayaran caruman KWSP.
Sebelum ini, FAM meletakkan syarat akan menyingkirkan mana-mana pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum 30 Oktober lalu.
Hamidin berkata, FAM akan memastikan bahawa semua pemain yang menyertai Liga M edisi 2011 mendapat perlindungan insurans.
“Kita akan hanya memilih syarikat insuran terbaik bagi memastikan bahawa setiap pemain yang bermain dalam liga tempatan mendapat perlindungan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, empat buah syarikat insurans telah membida dan FAM akan memperhalusi perkara itu sebelum memilih syarikat terbaik.
Menyentuh mengenai jadual perlawanan Liga M 2011, Hamidin berkata, sebahagian besar pasukan yang bertanding bersetuju untuk mengadakan perlawanan pada sebelah malam.
“Setelah mendapat persetujuan daripada semua pasukan FAM telah memutuskan untuk mengadakan perlawanan Liga Malaysia 2011 pada sebelah malam,” katanya.
Sebelum ini, FAM memberi kelonggaran kepada pasukan yang menyertai Liga M untuk memilih jadual perlawanan sama ada pukul 4.15 petang dan 8 malam (Sabah/Sarawak) dan 5 petang dan 8.45 malam di Semenanjung Malaysia.
Luahan Perasaan