PKNS, ATM kekal rekod tanpa kalah
PKNS FC berjaya mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0, malam tadi.
Kemenangan tipis ke atas pasukan tercorot liga itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya membolehkan PKNS mengumpul 22 mata selepas lapan perlawanan.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, jaringan tunggal Yusaini Hafiz Che Saad pada minit ke-75 membantu pasukan Angkatan Tentera Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengatasi Harimau Muda B.
Kemenangan kelima selepas perlawanan membolehkan ATM mencengkam kedudukan di tangga kedua dengan 18 mata.
Di Pulau Pinang, jaringan hatrik penyerang, Norizam Salaman berjaya membantu skuad Johor mencatat kemenangan bergaya 5-2 ke atas SDM Navy pada aksi di Stadium Negeri Batu Kawan.
Norizam yang juga ketua pasukan Johor menjaringkan gol pada minit ke-9, 25 dan 68.
Dua lagi gol pasukan Johor dihasilkan oleh Jasazrin Jamaluddin dan Mohd Shaufiq Khusaini masing-masing pada minit ke-24 dan 90 sementara gol tuan rumah memperoleh gol hasil dua jaringan Muhammad Ikram pada minit ke-13 dan 45.
Satu lagi perlawanan di Pulau Pinang menyaksikan pasukan Sarawak terus memburu kemenangan kelima apabila menewaskan pasukan kelab USM FC dengan jaringan 2-0 pada aksi di Stadium Olahraga USM.
Sarawak memperoleh jaringan pertama pada minit ke-13 menerusi rembatan kencang oleh Zamri Morshidi manakala jaringan kedua pula diperoleh menerusi Bobby Gonzales selang tiga minit kemudian.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor, pasukan kelab dari Kuala Lumpur, Sime Darby menang tipis 1-0 ke atas Majlis Perbandaran (MP) Muar dengan gol tunggal dihasilkan oleh A. Varathan pada minit ke-73.
Di Stadium Tuanku Abdul ahman, Paroi, Pos Malaysia menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1.
Gol pasukan posmen dijaringkan oleh Mohd Hanifuddin pada minit ke-28 dan Khairul Zal Azmi (min-42) sementara gol tunggal PDRM dijaringkan oleh Mohd Azrul Azman seawal minit ke-13.
Luahan Perasaan