Kelantan gagal gugat Selangor
SELANGOR masih kekal selaku pendahulu Liga Super selepas terikat 1-1 dengan pasukan di tangga kedua, Kelantan, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan yang dipisahkan lima mata menerusi 21 perlawanan sebelum ini, masing-masing mempunyai baki empat perlawanan lagi sebelum Liga Super menutup tirai pada 3 Ogos.
Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-60 hasil jaringan Mohd Amirulhadi Zainal sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-65. [LIHAT VIDEO]
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menewaskan Kedah 2-1.
Gol-gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Narizam Salaman pada minit ke-24 dan 52 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-70.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas dibelasah 0-5 oleh Terengganu.
Pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi rembatan Abdul Manaf Mamat dari dalam kotak penalti sebelum K.Rajan menambah dua lagi gol pada min ke-42 dan 51.
Kelonggaran pertahanan tuan rumah kemudiannya terus dihukum dengan dua lagi jaringan tambahan pada minit ke-61 dan 90 menerusi ledakan Mohd Ashaari Shamsudin.
Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, T-Team terikat 1-1 dengan Perak.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membolosi gawang tuan rumah menerusi Isma Alif Mohd Salleh pada min ke-30 sebelum Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan pada min ke-64.
Luahan Perasaan