Jurulatih Piala Presiden NS didakwa rasuah
Yusarman Yusof didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan
JURULATIH pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof, 35, didakwa atas 21 pertuduhan mengatur perlawanan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah memberi rasuah berjumlah RM24,900 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan antara 19 hingga 22 April lepas.
Sebelas pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Anwarul Hafiz Ahmad, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd Nor.
Yusarman dituduh memberi suapan antara RM200 hingga RM2,000 kepada pemain pasukan itu.
Ia sebagai dorongan supaya mereka membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang bagi perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April lepas. - Bernama
Luahan Perasaan