Liga Super lebih berprestij pada 2012
PERSATUAN Bola sepak Malaysia (FAM) sedang merangka cadangan untuk meningkatkan mutu penganjuran Liga Malaysia khususnya Liga Super pada 2012 untuk menjadikan ia lebih berprestij dan mampu menyaingi liga-liga bola sepak utama rantau ini.
Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa berkata pihak pengurusan dan anggota jawatankuasa FAM akan membuat suatu pertimbangan yang teliti dan mendalam bagi melihat corak sebenar Liga Super, untuk memantapkan saingan liga itu mulai tahun 2012.
Beliau berkata 16 pasukan yang bersaing dalam Liga Super tahun depan tidak semestinya masih berhak bersaing dalam tahun 2012 sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.
“Tidak juga bermakna yang dua pasukan terbawah akan turun (ke Liga Perdana) dan dua pasukan teratas Liga Perdana akan naik ke Liga Super sepertimana sebelum ini,” ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Bola sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 tengah hari tadi.
“Saya berikan notis awal ini buat semua pasukan, kerana anggota Jawatankuasa FAM akan membuat satu pertimbangan yang teliti dan mendalam tentang corak sebenar Liga Super bermula tahun 2012,” kata Annuar, yang juga pengerusi Malaysian Super League (MSL), sayap pelaburan FAM.
Annuar berkata Liga Super harus dilihat sebagai asas kepada pasukan kebangsaan dan sekiranya liga berkenaan mampu memberikan pertandingan yang kompetitif, Malaysia mampu melahirkan pasukan kebangsaan yang lebih kuat.
“Untuk melaksanakannya, semua pihak perlu bersedia melakukan perubahan yang besar dan teratur. Perubahan besar ini mungkin akan dilihat janggal kepada sesetengah orang, tetapi kalau serius melakukan transformasi ini, perubahan-perubahan besar itu adalah satu kemestian,” katanya.
“Kita harus mencari jalan untuk menukarkannya menjadi sesuatu yang memberi “value for money” kepada penaja. Zaman penajaan berdasarkan ihsan atau penajaan berasaskan “arm twisting”, atau juga dasar bersifat politik tidak akan bertahan lama,” tambahnya.
Beliau berkata musim akan datang akan dijadikan sebagai musim transisi.
“Saya harap pada pertengahan tahun atau sekitar April tahun depan, semua pasukan sudah dapat memberikan indikator atau meletakkan kayu ukur tertentu untuk melepasi ke peringkat Liga Super baru,” katanya.
Luahan Perasaan