Bojan Hodak enggan ulas spekulasi ambil alih tempat Butler
Bojan Hodak
DESAS-DESUS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army), Bojan Hodak menggantikan Peter Butler semakin bertiup kencang apabila dia mula mengendalikan sesi latihan skuad The Red Warriors di sini, semalam.
Sesi latihan di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pasir Tumboh, yang berlangsung selama satu jam setengah itu berjalan dengan lancar.
Biarpun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut, namun pengendali kelahiran Croatia itu dilihat tidak kekok untuk mengendalikan sesi latihan tersebut yang turut dibantu oleh penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsudin.
Sementara itu, Hodak ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya melatih skuad The Red Warriors.
“Itu anda (wartawan) kena tanya sendiri kepada pihak pengurusan KAFA. Saya tidak boleh mengulas lanjut tentang perkara ini. Tugas saya di sini hanya membantu mengendalikan sesi latihan pasukan sahaja,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler yang direhatkan buat sementara waktu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkemungkinan besar bakal meninggalkan The Red Warriors.
Dalam pada itu, sebuah blog, balikpapanpost melaporkan, Peter Butler dikatakan akan melatih pasukan Persiba Balik Papan, Indonesia. — Utusan
Luahan Perasaan