Sunday, 14/04/2013


Final: Perhitungan Kelantan, Negeri Sembilan

Published on October 30, 2010 by   ·   No Comments

KELANTAN berasa mereka telah matang dengan pengajaran musim lalu manakala Negeri Sembilan percaya seluruh pemainnya mampu menampung kelemahan jentera serangan apabila kedua-duanya mengulangi perhitungan akhir bola sepak Piala Malaysia, malam ini.

Edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil turut membuka peluang terbaik Wira Merah menghadiahkan Sultan Muhammed V atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan.

Sedangkan Si Rusa mengidam gelaran berganda musim ini selepas menjulang Piala FA.

Inilah kemaraan keempat Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia (termasuk Piala Malaya) selepas 1955, 1970 dan tahun lalu yang kesemuanya dihampakan Singapura, Perak dan Negeri Sembilan sementara lawan turut pernah menjuarainya pada 1948 selain bergelar naib juara 2000 dan 2006.

Namun, musibah kecederaan melanda pasukan masing-masing dengan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan terpaksa melupakan khidmat Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam manakala Rezal Zambery Yahya mungkin sekadar di bangku simpanan Negeri Sembilan dan Rahman Zabul sah diketepikan Wan Jamak Wan Hassan.

“Kami lebih bersedia kali ini dan telah belajar daripada pengalaman tahun lalu. Kami harap dapat menunjukkan apa yang kami pelajari itu kali ini dengan barisan pemain lebih berpengalaman tetapi biarlah label pasukan pilihan itu bukan ditujukan pada kami,” kata Sathianthan.

Wan Jamak pula berkata: “Akibat kecederaan (Rahman, Rezal dan Zaquan Adha Radzak), kami terpaksa mengubah banyak posisi tetapi saya percaya kesebelasan pemain di padang (malam ini) mampu menjaringkan gol termasuk mereka yang baru kali pertama bermain perlawanan akhir Piala Malaysia.”

Sathianathan yang memburu gelaran sulung tempatan dalam karier kejurulatihan berharap tuah kali ini menyebelahinya.

”Saya harap nasib bukan lagi menentang saya seperti tahun lalu kerana setiap kali memasuki perlawanan akhir, anda akan berasa mampu menang sedangkan Negeri Sembilan juga sebuah pasukan hebat. Tuah jelas mampu memainkan peranan,” ujar Sathianathan.

Bagaimanapun Wan Jamak berkata: ”Memang mudah bercakap daripada membuat dan ramai yang berkata lebih banyak tekanan pasti berpihak kepada kami selaku juara bertahan tetapi bagi saya hidup ini sebenarnya satu tekanan. Kalau tiada tekanan langsung, tidak mungkin kita mampu memperbaiki diri.”

Dalam pada itu Sathianathan menegaskan, jika Negeri Sembilan dikatakan tiada penyerang utama atau penjaring gol tetap, bagaimana mereka mampu ke perlawanan akhir?

”Adakah dengan hanya seri 0-0? Kami juga bimbang dengan kecederaan terbaru Akmal Rizal Rakhli walaupun saya harap dia mampu pulih cepat,” ujarnya.

Sambil mengetepikan perbandingan pencapaian peringkat Kumpulan A Piala Malaysia yang menyebelahi Si Rusa, Wan Jamak turut menyifatkan suasana perlawanan bakal banyak membawa kelainan.

Jelasnya, keputusan malam ini juga bergantung kepada sejauh mana kemampuan sesebuah pasukan itu menangani tekanan dan cuba mengurangkan kesilapan di tengah padang.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan menang 1-0 di Kota Bharu dan seri 2-2 dengan Kelantan di Paroi dalam perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia dari September hingga awal bulan ini.

Namun, lawan tampak lebih menyerlah sepanjang dua pusingan dan selaku naib juara Liga Super musim ini dengan memenanginya 1-0 dan 3-1.

- Utusan Malaysia




Related posts

coded by nessus

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News