JURULATIH Kuala Lumpur, Razip Ismail menyifatkan pertemuan menentang Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini antara beberapa perlawanan sukar yang terpaksa ditempuhi oleh pasukannya sepanjang musim ini.
“Persiapan pasukan kami bagi menghadapi perlawanan malam ini berjalan seperti biasa dan saya menyifatkan perlawanan ini begitu sukar kerana Kelantan merupakan pasukan yang cukup kuat pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Sudah pasti Kelantan tidak mahu kehilangan tiga mata kerana mereka kini berada di landasan yang tepat untuk memburu kejuaraan Liga Super buat pertama kali.
“Menjelang pertemuan malam ini, saya sudah mengingatkan pemain-pemain saya mencuba sedaya upaya untuk mencatatkan kemenangan walaupun kita tahu perlawanan ini begitu sukar bagi kita.
Menyentuh mengenai prestasi pasukannya setakat ini, Razip berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya sewaktu pertemuan dengan Perlis minggu lalu.
“Kita sebenarnya boleh menang ke atas Perlis pada perlawanan itu. Kita mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi kita.
“Walauapa pun, secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan kebangkitan pemain muda saya pada musim ini. Yang penting kita harus memperbaiki kedudukan kita dalam carta liga dengan berbaki empat perlawanan yang ada.
Ditanya mengenai lawan yang bakal dihadapinya malam ini, Razip mengakui pasukan Kelantan mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding pasukan kendaliannya.
“Kelantan mempunyai barisan pemain yang cukup berpengalaman termasuk pemain kebangsaan. Itu kelebihan yang ada pada Kelantan tetapi tidak pada kita.
“Saya sudah menjangkakan kita terpaksa mengharungi perlawanan yang sukar pada malam ini, lebih-lebih lagi Kelantan akan mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka sendiri walaupun bermain di sini (Cheras).
“Apa yang boleh saya harapkan, pemain-pemain saya dapat mempamerkan persembahan yang baik dan mampu menyaingi kekuatan Kelantan pada perlawanan malam ini,” katanya.
Skuad warga kota dijangka mempertaruhkan beberapa pemain muda terdiri daripada ketua pasukan Azidan Sarudin, Mohd Raimi Mohd Nor, Mohd Badrul Hisyam Azmi dan Yong Kuong Yong yang terbukti menjadi tunjang kekuatan Kuala Lumpur pada musim ini.
Tags: Kelantan, KL Plus, Liga Super, Prebiu