Debaran Piala Malaysia 2010

September 5th 2010 | Posted by Liga Malaysia

Piala Malaysia sering menampilkan elemen kejutan yang tidak diduga

DEBARAN Piala Malaysia kian terasa, hanya tinggal seminggu sahaja lagi saingan piala keagungan bola sepak negara itu bakal dimulakan yang membabitkan persaingan antara 16 pasukan.

Menyingkap kembali sejarah pertandingan Piala Malaysia, ia terlebih dahulu dikenali sebagai Piala Malaya dan bermula pada tahun 1921. Singapura menjadi juara pertama selepas menewaskan Selangor di padang Kelab Selangor di Dataran Merdeka.

Kemudian, nama pertandingan itu bertukar kepada Piala H.M.S Malaya pada tahun 1933 sebelum diperkenalkan sebagai Piala Malaysia pada tahun 1967. Selangor muncul pasukan paling banyak iaitu sebanyak 32 kali sementara Singapura dengan 24 kali.

Namun, persaingan Piala Malaysia semenjak memasuki tahun 2000 memperlihatkan persaingan yang agak seimbang dengan muncul beberapa kuasa baru seperti Perlis, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Tahun lalu, kejuaraan menjadi milik Negeri Sembilan selepas 61 tahun menanti selepas kali terakhir muncul juara pada tahun 1948.

Saingan sengit

Pada saingan musim ini, persaingan dijangka sengit membabitkan beberapa pasukan pilihan membabitkan juara Liga Super, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah di samping juara bertahan, Negeri Sembilan.

Namun, jika dilihat atas kertas, hanya dua pasukan iaitu Selangor dan Kelantan yang mempunyai peluang cerah seandainya rekod di Liga Super menjadi taruhan.

Selangor cukup gah kerana hanya tewas dalam tiga perlawanan dengan satu daripadanya tidak perlu diambil kira kerana skuad bimbingan K.Devan itu telah mengesahkan kejuaraan sebelum perlawanan terakhir ketika berdepan Johor FC.

Mereka mempunyai keseimbangan di segenap posisi dengan kesebelasan pemain yang cukup kuat dan berpengalaman termasuk barisan pemain simpanan.

Bagaimanapun persoalannya, adakah mereka mampu mempersembahkan rentak yang sama di Piala Malaysia tatkala semua pasukan lain berhajat besar mahu menyekat laluan Selangor.

Kelemahan Selangor jelas semasa bertemu dengan Kuala Lumpur dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila Red Giants dimalukan dengan keputusan 1-3.

Pertahanan Selangor cukup longgar ketika menangani situasi set-piece dan kelemahan penyudah oleh barisan serangan. Hakikat itu diakui oleh jurulatih, K. Devan.

“Kita tewas kerana pemain gagal menterjemahkan peluang di samping tidak tahu bertahan dengan baik semasa tiga situasi sepakan percuma yang menjadi punca kepada gol Kuala Lumpur, ’’ katanya yang ditemui selepas perlawanan tersebut.

Selangor mungkin tidak berdepan masalah besar untuk muncul juara Kumpulan D apabila diletakkan bersama T-Team, Perlis dan Felda United.

Sementara itu, Red Warriors atau Kelantan mungkin boleh muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun ini seandainya kecemerlangan pada tahun lalu dapat diteruskan. Kelantan hanya tewas sekali dalam saingan Liga Super.

Bernafsu besar

Mempunyai ramai pemain berstatus bintang seperti Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar, Kelantan sebenarnya hanya memerlukan sedikit tuah untuk menjadi juara.

Mungkin pengalaman mereka tewas di perlawanan akhir kepada Negeri Sembilan boleh membantu anak-anak buah B. Sathianathan mencatatkan sesuatu yang berbeza dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Jangan dilupakan skuad Penyu, mendapat sentuhan daripada jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti, Terengganu mampu menjadi juara tanpa disangka-sangka jika kebanyakan pemain mudanya mampu menyerap tekanan.

Tahun lalu mereka berjaya mengejutkan Selangor di suku akhir dan tidak mustahil kecemerlangan serupa dapat dijelmakan sebagaimana sasaran Irfan yang mahu skuadnya mara ke perlawanan akhir.

Sementara itu, jaguh dari selatan tanah air, Johor FC yang baru sahaja mendapat sentuhan Azuan Zain bagi menggantikan Ramlan Rashid, tetap bernafsu besar untuk cuba mencipta sejarah dalam saingan Piala Malaysia.

Prestasi yo-yo

Namun, prestasi yo-yo yang dipamerkan mungkin meresahkan sebahagian besar peminat Johor FC tambahan pula mereka diundi dalam kumpulan yang sukar bersama Kedah, Perak dan ATM.

Bagi Kedah, harapan peminat pada setiap tahun sentiasa tinggi selepas mempamerkan prestasi mengkagumkan ketika era Azraai Khor Abdullah tetapi jelas mereka tidak boleh melihat perkara yang sama berlaku buat masa ini.

Ahmad Yusof yang membimbing Kedah gagal mengulangi apa yang dilakukan Azraai walaupun dilimpahi ramai pemain kebangsaan dan bakat muda. Adakah skuad Kedah mampu bangkit pada saingan Piala Malaysia pada musim ini?

Juara musim lalu, Negeri Sembilan yang gah pada saingan Piala FA berdepan laluan berduri jika berangan-angan mahu mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Masalah utama yang sedang dihadapi Wan Jamak Wan Hassan ialah ketiadaan pemain simpanan berkebolehan jika barisan kesebelasan utama menghadapi kecederaan atau kemerosotan prestasi.

Hakikat itu terserlah pada saingan Liga Super apabila mereka tunduk mengejut kepada lawan-lawan mudah seperti T-Team dan Kuala Lumpur.

Bagi Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Perlis yang membariskan ramai pemain muda, kejayaan melangkah ke suku akhir dilihat satu pencapaian baik dan satu bonus besar seandainya salah satu pasukan itu mampu ke separuh akhir.

Sementara itu, kehadiran pasukan berstatus kelab seperti KL Plus, T-Team, Felda United, PKNS dan ATM tidak boleh dipandang enteng kerana Piala Malaysia sering menampilkan elemen kejutan yang tidak diduga.

Related Posts

Kelate.net, theredwarriors.com top laman web bola sepak di Malaysia

PENYOKONG bola sepak negeri Kelantan sekali lagi membuktikan mereka bukan sahaja mewarnai kemeriahan bola sepak tempatan dengan memenuhi gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Mohd Ke-IV tetapi turut menjadi nadi pengunjung paling ramai di internet. Buktinya, dua laman web pasukan dan penyokong The Red Warriors iaitu www.theredwarriors.com [...]

Kedah, Kelantan seri tanpa jaringan

KEDAH gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan finalis musim lalu, Kelantan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini. [LIHAT VIDEO] Pasukan tuan rumah yang bermain tanpa dua tonggak utama Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat [...]

Johor FC kejutkan N.Sembilan 1-0

JOHOR FC mencipta kejutan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2010 selepas menang tipis 1-0 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi. Gol tunggal Johor FC dijaringkan oleh Mohd Ezaidy Khadar pada minit ke-89. sekali gus memberikan kelebihan buat pasukan bimbingan Azuan Zain itu pada [...]

Kedah vs Kelantan LIVE di TV1

SAKSIKAN perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2010 antara Kedah menentang Finalis musim lalu, Kelantan secara langsung dari Stadium Darulaman Alor Setar di TV1 malam ini. [...]

N.Sembilan vs Johor FC LIVE di Astro Arena

SAKSIKAN perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2010 antara Negeri Sembilan menentang Johor FC secara langsung dari Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di Astro Arena malam ini. [...]

Leave a Reply:

Name (required):
Mail (will not be published) (required):
Website:
Comment (required):
XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Copyright © 2010 Portal Bola Sepak Berita Liga Malaysia Terkini. All rights reserved. Brought to you by Sokernet.com Team. Sokernet Group: Berita Bola Terkini | Video Bola Sepak.