Thursday, 04/03/2021


Selangor kekal penguasaan

Published on April 25, 2010 by   ·   No Comments

SELANGOR mengukuhkan penguasaan di tangga teratas Liga Super apabila menewaskan T-Team 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua gol Selangor dijaring oleh penyerangnya, Mohd Safee Sali pada minit ke-43 dan 51 setelah Mohd Bunyamin Omar meledak gol pembukaan untuk tuan rumah pada minit ke-34.

Skuad bimbingan K Devan itu kini mengumpul 29 mata diekori rapat oleh Terengganu (26 mata), Kelantan (25 mata) dan Johor FC (25 mata) yang turut mencatat kemenangan untuk meraih tiga mata penuh.

Terengganu yang membelasah Johor 6-3 pada Selasa lepas terus mengganas apabila menumpaskan Perlis 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Abdul Manaf Mamat menjaringkan dua gol pada minit ke-15 dan 58 manakala Joseph Klang Tie serta Mohd Ashaari Shamsuddin masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-32 dan 36.

Satu lagi pasukan dari pantai timur, Kelantan turut mempamerkan kehebatan apabila menewaskan KL PLus 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya untuk kekal menduduki tangga ketiga liga.

Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan 39 sebelum Hairuddin Omar melengkapkan gol ketiga pelawat pada minit ke-75.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, pasukan tuan rumah iaitu Johor FC memenangi pertarungan adik-beradik apabila menewaskan Johor 3-0 untuk menduduki tempat keempat liga dengan 25 mata, namun dibezakan jaringan dengan Kelantan.

Naib juara Piala FA awal bulan ini, Kedah terus mempamerkan aksi tidak konsisten apabila tewas 2-1 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur di Kuantan walaupun membuka jaringan awal melalui Baddrol Bakhtiar pada minit ke-12.

Anak-anak buah jurulatih Ahmad Yusof gagal bertahan apabila Azamuddin Mohd Akil menyamakan kedudukan pada minit ke-49 dan Shahrizan Mohd Salleh meledak dengan gol kemenangan pada minit ke-81.

Keputusan lain menyaksikan Kuala Lumpur menang tipis ke atas Perak 2-1 hasil jaringan Raimi Md. Nor pada minit keempat dan Badrul Hisyam Azmi minit ke-49 sebelum Perak cuba bangkit melalui gol tunggal Nazri Kamal lapan minit sebelum perlawanan tamat.




coded by nessus

Tags: ,

Readers Comments (0)




Latest News