KELANTAN berjaya menyekat kemaraan Selangor daripada terus melebarkan penguasaan selaku pendahulu Liga Super selepas mengikat skuad Gergasi Merah itu dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Aksi di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi dengan diiringi hujan, seakan-akan menjadi petanda kelebihan memihak kepada tuan rumah.
Norfarhan Mohamad dan Nizad Ayub terlebih dahulu mengancam gawang Selangor pada minit kelapan dan kesembilan, namun percubaan mereka sedikit melepasi palang.
Minit ke-14 pula menyaksikan Norshahrul Idlan Talaha mendapat peluang terbaik, namun rembatannya berjaya dinafikan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Pemain tengah Selangor, Hardi Jaafar mendapat peluang pada minit ke-39, namun sepakan lambungnya tinggi melepasi palang.
Babak kedua menyaksikan perlawanan bermula perlahan sebelum Kelantan memulakan asakan 10 minit kemudian dan Norshahrul sekali lagi mendapat peluang melalui sepakan lambung pada minit ke-58 tetapi melepasi palang gol.
Lima minit kemudian, giliran Norfarhan hampir meletakkan Kelantan di hadapan selepas menerima hantaran Khairan Eroza Razali tetapi dia gagal menyudahkan dengan baik.
Selang dua minit kemudian, kapten Selangor, Amri Yahyah pula hampir menggamamkan 25,000 penyokong Kelantan melalui kuisan menarik tetapi percubaannya itu sedikit tersasar.
Peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-68 apabila Norshahrul berjaya melepasi halangan Khairul Anuar Baharom dan hanya berdepan Hamsani tetapi rembatannya ‘meliar’ jauh.
Kelantan terus menggandakan asakan dalam tempoh 10 minit terakhir, namun terus dihampakan oleh kekebalan benteng pertahanan Selangor.
- Kosmo
Tags: Kelantan, Kelantan-Selangor, Kota Bharu, Liga Super, Selangor