PERTEMUAN Kuala Lumpur menentang Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini dilihat signifikan bagi kedua-dua pengendali pasukan untuk meraih mata berharga di saat saingan liga semakin menghampiri kemuncaknya.
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan berkata, perlawanan menentang skuad warga kota mungkin dilihat mudah oleh peminat bola sepak Kelantan tetapi beliau tetap berwaspada dan tidak mahu terperangkap dengan peningkatan mendadak skuad bimbingan Razip Ismail itu.
“Perlawanan menentang Kuala Lumpur bukan sesuatu yang mudah. Walaupun pasukan mereka dibarisi pemain-pemain muda, tetapi semangat juang pemain mereka cukup tinggi untuk mencipta kemenangan,” katanya sebelum berlepas ke ibu negara petang semalam.
“Buktinya kita dapat lihat, mereka berjaya mencatat keputusan seri dengan Perlis di Cheras minggu lalu. Sudah pasti kita tidak mahu mengalami nasib yang sama (mencatatkan keputusan seri) apatah lagi kehilangan tiga mata. Saya mahu bawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
Pada perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu 20 April lalu, Kelantan mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur.
Sathianathan berkata, sekembali dari Shah Alam minggu lalu, beliau telah memperbaiki kelemahan pasukan terutamanya dibenteng pertahanan yang agak longgar pada pertemuan dengan Selangor.
“Kita mengenal pasti masalah itu dan kita perbetulkan ketika menjalani latihan harian. Saya harap kita tidak bolos pada perlawanan malam ini. Kita pasukan paling sedikit dibolosi gol musim ini.
“Apa yang penting, pemain kita mesti turun dengan semangat yang tinggi, bekerja keras serta memberi sumbangan seratus peratus untuk mendapatkan tiga mata. Kita jangan berpuas hati dengan aksi mantap kita ketika pertemuan dengan Selangor minggu lalu. Itu sudah pun berlalu.
“Pengalaman pemain seperti Indra (Putra Mahayuddin), Norfarhan (Muhammad), Badhri (Radzi), dan Azizi (Matt Rose) diharap dapat membantu kita mencipta kemenangan pada malam ini.
“Khidmat penyerang muda, S Chanturu mungkin terpaksa dilupakan setelah beliau mengalami kecederaan pada pertemuan dengan Selangor minggu lalu. Tetapi kita tetap bawa beliau ke Kuala Lumpur sebagai persediaan sekiranya bahagian serangan mengalami kita masalah pada saat-saat akhir,” katanya.
Apa yang menarik pada perlawanan malam ini, penyokong setia Merah Putih sekali lagi bakal hadir beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pemain The Red Warriors untuk mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur setelah sekadar seri 1-1 dengan Selangor minggu lalu.
Tags: Kelantan, KL Plus, Liga Super, Prebiu