SKUAD Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memburu tiga mata penuh ketika mereka menanti kunjungan pendahulu Liga Perdana, Felda United di Stadium Selayang malam ini.
Felda United kini mengumpul 25 mata manakala ATM di tangga ketiga dengan 18 mata, kurang empat mata berbanding pasukan di tangga kedua, PKNS Selangor yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.
Jurulatih ATM, Zulhamizan Zakaria berkata, pasukannya kini berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Felda United sete- lah dibelasah 5-0 oleh Kedah pada aksi terakhir sebelum ini iaitu suku akhir kedua Piala FA, 20 Mac lalu.
“Para pemain sudah melupakan kekalahan itu dan sedar yang kami perlu menang perlawanan menentang Felda United ini supaya jurang mata tidak menjadi semakin jauh.
“Pemain-pemain yang cedera juga sudah kembali pulih. Jadi kami akan dapat menurunkan semula kesebelasan terbaik,” katanya.
Menurut Zulhamizan, ATM bakal mempertaruhkan gandingan penyerang, V Saravanan dan Syafiq Abd Samad untuk memburu jaringan manakala penjaga gol, Nasril Nourdin kembali mengawal gawang mereka.
“Kami sempat mengadakan dua perlawanan persahabatan di Kuantan, tewas 1-2 kepada skuad Liga Super Pahang dan seri 1-1 dengan skuad Sukma Pahang.
“Tetapi nampak prestasi semasa pemain agak baik biarpun kita berehat panjang,” ujarnya. - Kosmo
Tags: ATM, Felda United, Liga Perdana, Prebiu