Sunday, 14/04/2013


KAFA akur penggantungan Sathianathan

Published on October 24, 2010 by   ·   No Comments

KELANTAN yang akan bertemu Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Bukit Jalil, 30 Oktober ini tidak rela isu penggantungan ketua jurulatihnya, B Sathianathan, merencatkan semangat pemain untuk meraih kejuaraan merebut piala berprestij itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata inilah masanya buat pemain “menghadiahkan” kemenangan kepada Sathianathan yang banyak berkorban untuk pasukan itu dengan membenam skuad “hoben jang hoben”.

“Kelantan akur dengan penggantungan (Sathianathan) dan saya yakin moral pemain Kelantan sama sekali tidak terjejas sebagaimana ditunjukkan sewaktu menewaskan Kedah 1-0.

“Sebab itu peluang kali kedua bertemu Negeri Sembilan di final, pemain perlu bersemangat tinggi dan buktikanlah kepada Sathia akan kemampuan kita di Bukit Jalil nanti,” katanya selepas perlawanan separuh akhir kedua antara Kelantan dan Kedah di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, malam tadi.

Pada perlawanan itu Kelantan menang bergaya menewaskan pasukan Kenari 1-0 hasil sepakan sudut pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-79.

Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan di perlawanan nanti mengulangi sejarah tahun lalu yang menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara pada edisi ke-83 piala tersebut.

Dua hari lalu, lembaga disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda sebanyak RM2,000 berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata Sathianathan dihukum atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super musim lalu.

Pada perlawanan semalam, Sathianathan hanya menyaksikan pasukannya bermain di tempat duduk penonton dengan dilihat menggunakan “walkie talkie” untuk memberi arahan kepada penolongnya, Hashim Mustapha dan pengurus pasukan, Azman Ibrahim.

Mengulas perlawanan itu, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM, berkata beliau berpuas hati dengan corak permainan Kelantan yang telah bermain bermati-matian untuk menewaskan Kedah.

“Walaupun menang tipis namun kemampuan yang ditunjukkan kesebelasan utama anak buah Sathianathan itu sudah cukup meyakinkan kita tidak menghadapi masalah menentang Negeri Sembilan di Bukit Jalil nanti,” katanya.

Mengulas imbuhan, Annuar berkata, KAFA akan memberi bonus kepada pemain kerana berjaya mara ke final itu.

“Saya tidak berani menjanjikan imbuhan yang lebih besar, Cuma yang diperoleh sebelum ini ialah RM70,000 kerana berjaya ke separuh akhir dan meningkat kepada RM100,000 (layak ke final) dan ini saya kira sudah cukup memberi rangsangan kepada mereka,” katanya.




Related posts

coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News