SELEPAS berehat hampir lima minggu untuk memberi laluan kepada Piala Dunia, saingan Liga Super kembali menemui peminat bola sepak tanah air, malam ini.
Perlawanan tumpuan pastinya Kelantan yang akan melayan kunjungan juara Piala FA dan Piala Malaysia, Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed IV. Skuad Red Warrios itu mahu terus memberi tekanan keatas pendahulu liga, Selangor yang dipisahkan dengan perbezaan lapan mata.
Berdasarkan rekod pertemuan lepas di laman sendiri, ia lebih memihak kepada Negeri Sembilan apabila menang dalam kedua-dua perlawanan iaitu dalam saingan Liga Super dan separuh akhir pertama Piala FA.
Tanpa berselindung, Kelantan tetap mengimpikan tiga mata menjadi milik mereka, walaupun mengetahui lawannya bukan mudah untuk ditundukkan.
Namun begitu, berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan sepanjang tempoh rehat menampakkan sedikit keyakinan di kalangan peminat setia mereka, ditambah dengan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Paroi lalu.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, tempoh rehat yang panjang digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki beberapa kelemahan, selain anak-anak buahnya terus bersemangat untuk mencabar pendahulu takhta liga.
Menurutnya, tiga perlawanan persahabatan yang diharungi dengan keputusan yang agak positif menunjukkan Kelantan terus bersedia untuk mengharungi baki liga walaupun ketinggalan agak jauh di tempat kedua.
Tambahnya, Kelantan tetap berwaspada dengan ancaman Negeri Sembilan kerana sedar skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu pastinya sudah menemui kembali ‘ramuan’ untuk bangkit memberi cabaran.
Katanya, lawan mereka sebelum ini juga bukan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Super namun berjaya buktikan kejaguhan selepas menjuarai Piala Malaysia 2009 dan Piala FA 2010.
“Kami kehilangan Azizi (Mat Rose) selepas digantung perlawanan kerana mendapat tiga kad kuning tetapi masih memiliki ramai pemain yang mahu beraksi untuk pasukan.
“Saya memiliki empat penyerang yang bersedia untuk diturunkan bila-bila masa. Akmal (Rizal Rakhli) antara yang sudah mendapat kembali sentuhan dan saya akan putuskan siapa yang bakal diturunkan dalam sesi latihan petang ini (semalam),” jelas Sathianathan.
-UTUSAN MALAYSIA
Tags: Kelantan, Kelantan-Negeri Sembilan, Liga Super, Negeri Sembilan