PENCABAR Liga Super, Kelantan kempunan memungut tiga mata penuh apabila diikat tanpa jaringan dalam aksi menentang Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar malam tadi. (LIHAT VIDEO)
Keputusan itu sekali gus memberi peluang buat Selangor melebarkan penguasaan di tangga teratas liga apabila berjaya menumbangkan pasukan Tok Gajah, Pahang 3-2 di Kuantan.
Kelantan bagaimana pun kekal di tangga kedua liga, namun kedudukan itu semakin dihimpit Terengganu yang mengatasi T-Team 1-0 untuk menambah tiga lagi mata menjadikan angka 36 setakat ini, iaitu tiga mata ketinggalan di belakang skuad The Red Warriors itu.
Kelantan akan berdepan satu lagi pasukan dari utara, Pulau Pinang di tempat lawan Sabtu ini, seterusnya menanti kunjungan Perak di Kota Bharu Selasa depan sebelum aksi Liga Super berehat sebulan untuk memberi laluan kepada kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Kedah pula yang kini di tangga kelima liga akan bertandang ke Kuala Terengganu untuk menghadapi tentangan T-Team sebelum berdepan Pulau Pinang di gelanggang sendiri pada perlawanan terakhir sebelum aksi Liga Super berehat sebulan sempena kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Tags: Kedah, Kelantan, Kelantan-Kedah, Liga Super