KECEMERLANGAN pasukan Kedah di gelanggang lawan berterusan apabila menang bergaya 3-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan dalam aksi Liga Super malam tadi.
Ia adalah kemenangan ketiga berturut buat pasukan Kenari di gelanggang lawan sejak aksi pembukaan Liga Super 9 Januari lalu.
Anehnya Kedah belum mencatat walau satu kemenangan pun ketika beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar setakat ini.
Selepas kecundang 0-2 di tangan satu lagi pasukan utara, Perlis Sabtu lepas, tuan rumah terus dirundung malang untuk mencatat kekalahan kedua berturut-turut, kali ini tewas di hadapan penyokong sendiri.
Sebaliknya skuad Pulau Mutiara gagal mengekang asakan-asakan Kedah khususnya pada babak kedua hingga mengakibatkan gawang dibolosi sebanyak tiga kali.
Azmi Muslim membuka jaringan pelawat pada minit ke-56 diikuti gol daripada Azlan Ismail minit ke-71 dan Saramsak Kram (m-85).
Kemenangan itu membolehkan Kedah naik dua anak tangga untuk menghuni kedudukan ketiga carta Liga Super dengan 10 mata, satu mata di belakang Terengganu dan lima mata ditingglkan pendahulu, Selangor.
Tags: Azlan Ismail, Batu Kawan, Kedah, Liga Super, Pulau Pinang