MESKIPUN berjaya mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super kelmarin, K Devan tetap memuji persembahan yang ditunjukkan oleh anak didik Razip Ismail itu.
Jurulatih Selangor itu berkata, pasukan bimbingannya dilihat sukar untuk menembusi barisan pemain Kuala Lumpur, yang mempamer aksi segar dan bertenaga.
Katanya, pertemuan kelmarin menyaksikan Selangor tidak memiliki ruang secukupnya, seperti yang diperoleh pada pertemuan sebelum ini.
“Kuala Lumpur berjaya menutup ruang buat kami pada separuh masa pertama.
”Namun Selangor masih bermain baik cuma gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan.
“Akhirnya kami berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi tandukan Safee Sali.
”Selepas jaringan tersebut, Selangor mula melancarkan serangan merbahaya.
“Saya berasa sangat gembira apabila pasukan ini berjaya menghasilkan empat gol ketika menentang salah sebuah pasukan yang baik,” katanya.
Kuala Lumpur memperoleh gol awal pada minit keenam menerusi tandukan menarik Yong Kuong Yong.
Selepas gol awal pasukan pelawat, Selangor mula menggandakan serangan.
Percubaan Selangor pada minit ke-17, gagal menyaksikan Red Giants memperoleh jaringan penyamaan.
Percubaan awal Safee Sali ditampan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd. Remesey Che Ros, sebelum penjaga gol skuad ibu kota itu sekali lagi menafikan percubaan Amri Yahyah, menerusi gerakan susulan dan akhirnya tendangan Mohd. Hardi Jaafar menuju ke palang.
Usaha berganda Selangor akhirnya menemui kejayaan apabila Mohd. Safee Mohd. Sali menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-35.
Kuala Lumpur melancarkan beberapa serangan selepas itu, tetapi tendangan percuma yang diambil ketua pasukan ibu kota, Azidan Sarudin menuju ke palang.
Babak kedua menyaksikan Selangor mengusai perlawanan sepenuhnya dan memperoleh tiga gol.
Dua jaringan R. Surendren pada minit ke-78 dan ke-89, serta penyudah bijak daripada Amri Yahyah pada minit ke-59 melengkapkan malam cemerlang skuad Devan.
“Saya berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh semua pemain pada separuh masa kedua.
“Kami layak untuk mencatat kemenangan dan sangat gembira dengan empat jaringan yang diperoleh di Stadium Shah Alam,” katanya.
Namun, Selangor mungkin berhadapan kehilangan pemain sayap kiri, Farderin Kadir yang mengalami kecederaan setelah bertembung dengan pemain lawan kelmarin.
Ditanya mengenai kecederaan pemain itu, Devan berkata, Ferderin mungkin mengalami kekejangan dan keadaannya akan diketahui tidak lama lagi. — Utusan Malaysia
Tags: K Devan, Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Liga Super, Selangor