FELDA United naik ke tangga kedua carta Liga Perdana selepas membelasah Sarawak 4-1 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Fatrurazi Rozi menyumbang dua gol buat tuan rumah, masing-masing pada minit ke-10 dan 20 sebelum Mohd Munir Amran dan Abdul Ghani Abdul Rahman menambah dua lagi gol sebelum berakhir babak pertama.
Selepas diikat seri tanpa jaringan ketika berdepan Sabah dalam perlawanan pembukaan menentang Sabah Isnin lepas, Felda United turun di gelanggang sendiri dengan misi memungut tiga mata penuh.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan. Bermula dengan gerakan dari sebelah kiri, Fatrurazi menanduk masuk hantaran silang rakan yang terus menerjah ke penjuru kiri pintu gol Sarawak.
Sepuluh minit kemudian, Fatrurazi sekali lagi bijak menghukum kelemahan benteng pasukan pelawat apabila sekali lagi menggunakan kepalanya untuk menanduk masuk hantaran dari satu tendangan sudut.
Tidak cukup dengan dua gol tersebut pasukan bimbingan E Elavarasan itu terus menghukum kelemahan pertahanan Sarawak hasil jaringan ketiga Mohd Munir Amran pada minit ke-37 dan Abdul Ghani Abdul Rahman minit ke-43.
Mendahului lawan dengan empat gol membuatkan tuan rumah mula memperlahankan rentak perlawanan babak kedua dan hasilnya pasukan pelawat berjaya memperoleh gol sagu hati lima minit sebelum perlawanan tamat melalui gerakan solo Zamri Morsidi.
Tags: Cheras, Felda United, Liga Malaysia, Liga Perdana, Sarawak