PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa masih memikirkan sama ada untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun beliau tidak mahu membuat sebarang kenyataan awal berhubung pendiriannya kerana ia dikhuatiri boleh menimbulkan andaian atau kontroversi.
“Saya tidak mahu politiking dalam bidang sukan seperti ini, biar badan-badan gabungan dalam FAM yang membuat keputusan untuk memilih pemimpin mereka,” katanya, semalam.
Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan Timbalan Presiden FAM sekarang, Khairy Jamaluddin tidak akan mempertahankan jawatannya pada kongres pemilihan FAM bulan depan.
Satu lagi jawatan Timbalan Presiden disandang oleh Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Menurut sumber, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berminat untuk mengisi satu daripada jawatan itu dan berharap dapat berganding dengan Annuar.
Annuar berkata bahawa pada kebiasaannya sebulan sebelum kongres, pihak pengurusan akan menghantar surat pengesahan kepada seseorang calon yang akan bertanding jawatan dalam persatuan sama ada menerima atau sebaliknya.
“Setakat ini, saya belum ada apa-apa yang perlu komen. Saya juga tidak suka orang bercakap atas andaian semata-mata,” katanya.
Berita Harian
Tags: Annuar Musa, FAM, KAFA