PEMILIHAN jawatankuasa tertinggi FAM yang dijadualkan pada 31 Julai ini menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan nombor dua apabila lima tokoh termasuk penyandang disebut-sebut bakal bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden FAM.
Bagi jawatan nombor dua itu, lima nama telah yang diuar-uarkan untuk mengisi jawatan berkenaan termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad dan bekas penyandang jawatan itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Nama-nama lain yang dikaitkan akan bertanding ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.
Seorang lagi tokoh, Dato’ Seri Shahidan Kassim yang dilaporkan media bakal menarik diri masih belum memberi kata putus sama ada akan meneruskan hasrat bertanding atau tidak.
Jika Shahidan mahu meneruskan niatnya untuk bertanding bermakna jawatan nombor dua FAM menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Mana-mana tokoh yang memenangi pertandingan kali ini akan memegang jawatan bagi tempoh 2010 hingga 2015.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Haji Ahmad Shah mengekalkan jawatannya sebagai Presiden FAM untuk penggal 2010-2015 apabila memenanginya tanpa bertanding.
Tags: FAM, Pemilihan FAM, Timbalan Presiden