PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) bersikap profesional menerima hakikat penggantungan jurulatih dan tiga pemain mereka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menganggap penggantungan itu sebagai salah suatu cabaran dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Liga Super.
“Walaupun terkejut dengan hukuman berat ini, kami kena terima hakikat dan anggap ia sebagai suatu cabaran.
“Jika kami berjaya mengekalkan fokus pada baki 10 perlawanan selepas ini, sudah pasti gelaran Liga Super tetap menjadi milik Selangor,” katanya.
Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah mengenakan hukuman gantung enam perlawanan dan denda RM6,000 ke atas jurulatih Selangor, K Devan dan pemain tengahnya, Hardi Jaafar.
Sementara dua lagi pemain iaitu Safee Sali dan Razman Roslan pula digantung empat perlawanan dan didenda RM2,000.
Ia ekoran tindak balas mereka terhadap pengadil, Ibrahim Mohd dan penjaga garisan, Kamil Tumin yang gagal melihat insiden Shukor Adan menampan bola menggunakan tangan ketika perlawanan separuh akhir Piala FA di Paroi pada 3 April lalu.
Hamidin menambah: “Kami akan teliti dan bincang bentuk tindakan selanjutnya biarpun dikatakan hukuman ini tak boleh dirayu. Kami akan lihat apa saja ruang peraturan atau prosedur yang ada.”
Selepas tamat sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam, Hamidin telah berjumpa dengan para pemain Selangor bagi memulihkan semula semangat mereka.
“Biarpun hukuman ini sedikit sebanyak menggugat pasukan, kami tetap yakin barisan pemain simpanan yang ada tidak jauh bezanya kualiti mereka dengan pemain kesebelasan utama.
“Kemungkinan juga hukuman ini akan membuatkan barisan Selangor lebih bersemangat lagi untuk membuktikan pasukan ini tetap yang terbaik,” jelas Hamidin.
Baki 10 perlawanan selepas ini menyaksikan Selangor akan bertemu KL Plus malam ini disusuli aksi bertemu Pahang, Perlis, Johor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, T-Team, Terengganu dan Kedah.
Tags: Denda, FAM, FAS, Hukuman, Selangor