Saturday, 26/10/2013


Sultan Ahmad Shah kekal Presiden FAM hingga 2015

Published on July 19, 2010 by   ·   1 Comment

SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa bertanding bagi penggal 2010-2015.

Baginda mengekalkan jawatan yang disandangnya itu sejak 1984 apabila pencalonan untuk semua jawatan pada pemilihan badan induk itu di Kongres Tahunan FAM ke-47 pada 31 Julai ini, ditutup hari ini.

Pada mesyuarat majlis FAM di Wisma FAM di sini, baginda mengucapkan terima kasih kepada semua ahli gabungan yang sebulat suara memberi kepercayaan dan sokongan kepadanya untuk terus menerajui badan induk itu.

“Walaupun bola sepak negara belum mencapai tahap yang diharapkan tetapi dalam tempoh empat tahun ini secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan dan kemajuan,” titah baginda semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut.

“Masih banyak lagi perlu dilakukan agar FAM dapat dilihat dikendalikan secara berhemah, cekap dan profesional. Ini adalah antara cabaran kita pada penggal seterusnya,” titah baginda.

Baginda bertitah peningkatan bola sepak negara dapat dilihat pada Sukan SEA Laos 2009 apabila skuad kebangsaan berjaya memenangi pingat emas dan berharap usaha yang lebih gigih dapat dilakukan bagi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA, Indonesia, tahun depan.

“Sejajar dengan peraturan FIFA, FAM akan menguna pakai sepenuhnya perlembagaan baru FAM pada kongres kali ini dan dengan pelaksanaan perlembagaan baru itu nanti, FAM tidak mempunyai lagi majlis seperti sekarang sebaliknya semua ahli gabungan mempunyai wakil mereka dalam kepemimpinan tertinggi FAM,” titah baginda.

Mengikut perlembagaan baru FAM, Jawatankuasa Eksekutif FAM terdiri daripada 15 ahli iaitu seorang Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden dan lapan Anggota Eksekutif selepas pemilihan kali ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad berkata mereka telah menerima enam pencalonan untuk dua jawatan timbalan presiden, lapan untuk empat jawatan naib presiden dan 13 pencalonan bagi lapan jawatan ahli eksekutif.

Mengulas mengenai penarikan diri Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dari jawatan Timbalan Presiden semalam, katanya secara teknikal penarikan diri itu tidak sah kerana tidak menghantar surat rasmi kepada FAM.

“Penarikan diri tidak boleh dilakukan melalui akhbar,” katanya mengenai kenyataan Shahidan yang laporkan media semalam.

Bagaimanapun, katanya, calon boleh menarik diri sebelum proses pengundian dijalankan pada kongres itu.

-Bernama




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (1)

  1. mat bunga says:

    tu diaaaaaaaaaa… hahahhaa




Latest News