Real Madrid lonjak tangga teratas
Real Madrid 3-0 Espanyol
REAL Madrid mengungguli tangga teratas Liga Sepanyol untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam setelah menewaskan Espanyol 3-0 dalam dalam aksi di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Real kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan, hanya satu mata mengatasi Valencia yang akan beraksi menentang Atletico Madrid awal pagi esok.
Dalam aksi awal pagi tadi, Real memperoleh gol pertama pada minit ke-28 selepas pemain Espanyol, Luis Garcia tertampan tendangan percuma Cristiano Ronaldo di dalam kotak penalti dan bekas penyerang Manchester United itu kemudian mudah menyempurnakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil.
Perlawanan yang sengit itu juga menyaksikan tiga pemain dibuang padang, pertahanan Real, Pepe (m-60) dan dua pemain Espanyol iaitu Ernesto Galan (m-63) dan Juan Forlin (m-89).
Higuain kemudian menambah sengsara Espanyol dengan gol kedua tuan rumah pada minit ke-79 sebelum Karim Benzema melengkapkan kemenangan 3-0 Real pada penghujung perlawanan setelah hanya tiga minit beraksi di atas padang.
Musuh tradisi Real, Barcelona akan turun beraksi menentang Sporting Gijon di tempat sendiri awal pagi esok.
Pingback: La Liga: Barcelona menang tipis | Sokernet.com | Portal Berita Bola Sepak