Rusuhan London: Siaran langsung EPL mungkin ditunda
RUSUHAN di kota London mungkin turut mengakibatkan siaran langsung beberapa perlawanan Liga Perdana England (EPL) 2011-12, Sabtu ini menerusi Astro ESPN-Star Sports ditunda ke hari lain.
Pengulas program TV ESPN, Primetime Premier League dan Super Sunday, Serbegeth Singh atau Shebby berkata, penundaan itu merupakan satu kemungkinan besar ekoran perkembangan semasa di London, namun ia bakal disahkan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum siaran langsung.
“Menurut laporan media, banyak perlawanan EPL terpaksa ditangguhkan terutama di ibu kota London yang akan melibatkan enam pasukan atau tiga perlawanan (menyusuli pembatalan persahabatan antarabangsa England-Belanda, kelmarin).
“Saya rasa dengan keadaan sekarang, pasti lebih baik ia ditangguhkan kerana mengambil kira anggaran 40 ribu penonton di sesebuah stadium dan sehingga mencecah 120,000 orang yang akan keluar ke jalan raya dan stadium bagi menghadiri kesemua perlawanan itu.
“Ia mengancam keselamatan penyokong bola sepak dan bagi siaran bola sepak EPL di ESPN, sekiranya tiada perlawanan, siaran juga akan ditangguhkan. Ia satu kemungkinan besar jika mengikut keadaan semasa di London,” kata bekas pertahanan kebangsaan Malaysia dari 1982 hingga 1990 ini.
Shebby yang ditemui selepas majlis pelancaran musim baru siaran EPL menerusi Astro ESPN-Star Sports di Bukit Damansara, berkata: “Ia satu tamparan hebat bagi temasya bola sepak sehebat dan sebesar EPL tetapi yang lebih penting ia akan turut membawa pengajaran.
“Dua belas bulan dari sekarang, London akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012. Jadi kejadian rusuhan tahun ini akan menjadi panduan kepada kerajaan atau pihak pentadbir di sana supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya. — Utusan Malaysia
Luahan Perasaan