Nani mahu kekal bersama MU
PEMAIN sayap Manchester United, Nani menegaskan bahawa dia langsung tidak pernah ada perancangan untuk meninggalkan skuad The Red Devils.
Sebelum ini, Nani yang juga tonggak utama Portugal dilaporkan bakal berhijrah ke kelab lain ekoran kemasukan pemain sayap Aston Villa, Ashley Young ke Old Trafford.
“Sudah tentu saya mengalu-alukan kemasukan pemain baru ke United.
“United merupakan sebuah kelab yang menakjubkan. Setiap kali mereka membuat keputusan untuk membawa masuk pemain baru, mereka tahu sama ada pemain itu bagus ataupun tidak.
“Kehadiran Young adalah satu kebaikan untuk kelab. Kami mahu lebih ramai (pemain) untuk membantu pasukan memenangi trofi kejuaraan,” kata Nani.
Nani, 24, menambah, pengalamannya yang bersaing dengan pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama United dan Portugal sebelum ini telah banyak memberinya pengajaran berguna.
Malah, Nani langsung tidak bimbang dengan kehadiran Young dalam skuad The Red Devils kerana dia yakin dengan kebolehan serta bakat yang dimilikinya.
“Saya sudah bersama United ketika Ronaldo turut berada dalam pasukan ini yang mana dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia.
“Ketika itu, saya langsung tidak bimbang akan kehilangan tempat,” tambah Nani.
Nani mula menyarung jersi United pada 2007 selepas berhijrah dari kelab Portugal, Sporting CP.
Luahan Perasaan