MU gah, Chelsea hampa
JARINGAN hatrik Wayne Rooney pada babak kedua memastikan Manchester United semakin selesa di persada EPL apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas West Ham.
Mark Noble sebelum itu menjaringkan dua penalti pada babak pertama untuk memastikan tuan rumah selesa sebelum waktu rehat. Nemanja Vidic bernasib baik kerana tidak diperintah keluar padang dalam keadaan permainan yang dikawal sepenuhnya oleh West Ham.
Namun United bangkit pada babak kedua apabila sepakan percuma Rooney menerjah jaring sebelum penyerang England itu merekodkan gol liganya yang ke-100 dan kemudian menyempurnakan penalti untuk memastikan hatrik peribadi.
Javier Hernandez menambah satu lagi jaringan pada minit-minit akhir perlawanan, yang menyaksikan pengurus United Sir Alex Ferguson terpaksa memerhati daripada tempat duduk penonton kerana penggantungan lima perlawanan atas kesalahan mengkritik pengadil.
Dalam perlawanan lain, Chelsea gagal merapatkan jurang dengan pendahulu liga apabila diikat 1-1 oleh Stoke City di Stadium Britannia.
Jon Walters terlebih dahulu meletakkan Stoke di hadapan namun gol Didier Drogba, yang pertama sejak 24 Januari, memastikan Chelsea pulang dengan satu mata. Chelsea kini 11 mata di belakang Manchester United dengan baki lapan perlawanan.
Liverpool pula dikecewakan oleh West Brom 2-1 di The Hawthorns dalam perlawanan pertama pengurus West Brom, Roy Hodgson menentang kelab bekas bimbingannya itu.
Pasukan pelawat memperolehi gol pertama sejurus babak kedua bermula melalui tandukan Martin Skrtel namun Sotirios Kyrgiakos muncul musuh dalam selimut buat Liverpool apabila dua kali menghadiahkan penalti buat West Brom.
Chris Brunt menyempurnakan kedua-dua penalti untuk memastikan West Brom kini empat mata di atas zon penyingkiran manakala harapan Eropah buat Liverpool kian pudar.
Sementara itu, Birmingham menang 2-1 ke atas Bolton di tempat sendiri manakala Everton sekadar seri dengan Aston Villa 2-2 di Goodison Park.
Newcastle pula berpesta gol ke atas Wolves dengan kemenangan 4-1 di St James’ Park manakala Tottenham gagal mencatat kemenangan di Stadium DW apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Wigan.
Luahan Perasaan