Alexis Sanchez pantas sesuaikan diri
ARSENE Wenger teruja melihat kepantasan Alexis Sanchez menyesuaikan diri dengan bola sepak Liga Perdana Inggeris EPL selepas penyerang Chile itu menjaringkan gol pada penghujung permainan untuk menundukkan Southampton 1-0 di Stadium Emirates semalam.
Sanchez yang dibeli daripada Barcelona dengan harga 30 juta pound (RM162 juta), menjaringkan golnya yang ke-14 musim ini pada minit ke-89 untuk membantu Arsenal menang 1-0.
Skuad Gunners kini hanya dua mata dipisahkan daripada kelompok empat pasukan teratas.
Penjaga gol Southampton, Fraser Forster berjaya menyelamatkan beberapa percubaan, namun gagal menghalang rembatan jarak dekat Sanchez selepas menerima hantaran lintang Aaron Ramsey.
Sanchez, yang menjadi senjata ampuh Arsenal sepanjang empat bulan kempen berlangsung, menerima penghargaan daripada pengurusnya selepas kejayaannya membantu Gunners melonjak ke tangga keenam.
“Dia salah seorang pemain yang terpaksa berusaha keras hari ini (semalam), namun dia mempunyai keinginan tinggi untuk melawan dan dia sentiasa jumpa cara yang khusus untuk menjaringkan gol.
“Susah untuk mencari pemain lain yang boleh melakukannya dalam masa yang singkat. Ingatan saya tidak sempurna, namun saya tidak fikir ada yang lebih pantas.
“Kami sudah memasuki Disember dan dia tiba pada Julai lalu. Apabila anda melihat jumlah gol yang dihasilkan serta impaknya terhadap pasukan, sangat menakjubkan,” katanya.
Wenger menerima ejekan daripada peminat Arsenal apabila dia menggantikan Alex Oxlade-Chamberlain dengan Olivier Giroud pada minit ke-65.
Bagaimanapun gol Sanchez memberi kelegaan sekali gus mengekalkan momentum kemenangan Arsenal setelah sebelum ini mereka menewaskan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-juara serta West Brom pada aksi Liga Perdana.
“Bagi kami kemenangan adalah penting kerana kami kalah dalam perlawanan di tempat sendiri sebelum ini kepada Manchester United.
“Kami mempunyai sikap yang betul, persepakatan yang baik dan fokus. Itu adalah asas yang bagus,” katanya.
Luahan Perasaan