Real Madrid perlu keajaiban
Barcelona vs Real Madrid
Nou Camp, 2.45 pagi
REAL Madrid perlu tampil dengan aksi luar biasa pada saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona awal pagi esok.
Ia bagi membolehkan skuad The Galaticos mengulangi kejayaan menyingkirkan Barcelona pada aksi separuh akhir tahun 2002.
Sembilan tahun lalu, Real menang 2-0 pada aksi pertama di Nou Camp sebelum seri 1-1 di laman sendiri untuk melangkah ke final dan berjaya menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 di Glasgow bagi merangkul gelaran kesembilan.
Begitupun, pada aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Real tewas 0-2 kepada Barcelona.
“Real merupakan pasukan yang sudah sinonim dengan sikap kepahlawanan. Jadi kami harap pada aksi separuh akhir kedua ini, para pemain tampil dengan usaha yang cukup istimewa,” kata Pengarah Besar Real, Jorge Valdano.
Real bakal turun tanpa pemain pertahanan, Sergio Ramos yang digantung permainan bersama-sama Pepe yang dibuang padang pada aksi minggu lalu.
Kata Ramos: “Kami perlu sedar dengan kesukaran yang bakal dihadapi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diatasi. Kami perlu memberikan segala-galanya bagi mengatasi Barcelona.”
Jurulatih Real, Jose Mourinho pula turut dibuang padang kerana membantah kad merah yang dilayangkan kepada Pepe dan kemudian menuduh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memberi layanan istimewa kepada Barcelona.
Mourinho hanya akan berada di tempat duduk penonton pada aksi awal pagi esok.
Pengendali dari Portugal itu perlu tampil dengan strategi lebih berkesan berbanding pada separuh akhir pertama apabila Real hanya mendapat 21 peratus penguasaan bola dan melakukan satu percubaan tepat ke arah gol.
Justeru Mourinho dijangka bakal membawa masuk Karim Benzema atau Emmanuel Adebayor untuk membantu Cristiano Ronaldo di bahagian serangan selain tempat Mesut Oezil mungkin diisi semula oleh Kaka yang sudah cergas.
Luahan Perasaan