CHELSEA sekali lagi membuktikan mereka merupakan antara kelab terunggul di Eropah.

Selain mendahului Liga Perdana England, kelab Stamford Bridge itu menempatkan diri sebagai antara pencabar utama bagi merebut trofi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Jika kejayaannya dalam liga domestik semasa bangkit menang 2-1 ke atas Blackburn Rovers selepas ketinggalan satu gol disifatkan sebagai tuah, anak buah Carlo Ancelotti membuktikan kehebatannya di medan Eropah apabila mencatatkan kemenangan selesa dengan membelasah juara Russia, Spartak Moscow, 4-1 awal pagi Khamis.

Seperti yang diramalkan, wakil Russia itu bakal menghadapi masalah besar untuk cuba membendung kebangkitan juara England itu lebih-lebih lagi dengan peningkatan persembahan cemerlang Nicolas Anelka yang jelas begitu tangkas setiap kali menyambar peluang yang tersaji di depannya.

Jurulatih Spartak, Valeri Karpin, juga bakal terfikir sama siapakah yang harus mengawal penyerang antarabangsa Ivory Coast, Didier Drogba, yang kembali semula dalam kesebelasan pasukan tuan rumah.

Segala kebimbangan Karpin itu terbukti tepat apabila Anelka dan Drogba menjadi duri kepada pertahanan pasukan pelawat.

Untuk 45 minit pertama, Spartak pasti lega kerana mampu menyekat setiap serangan Chelsea dengan mereka sendiri turut membayangkan keazaman untuk menebus kekalahan 0-2 yang dialami di padang sendiri dua minggu lalu, dengan mengatur serangan balas.

Bagaimanapun, hasrat pasukan pelawat untuk terus mengekalkan kedudukan 0-0 dan berkongsi satu mata di Stamford Bridge berderai sebaik permainan separuh masa kedua dimulakan.

Kombinasi licik antara Drogba dengan rakannya dari Perancis itu ternyata mengundang bahaya bagi Spartak apabila umpanan Drogba disambut tepat oleh Anelka yang melepaskan rembatan leret daripada sudut yang sukar untuk memecahkan kebuntuan seawal minit keempat babak kedua pertarungan.

Penjaring gol pembukaan itu turut mendapat pujian daripada pengurusnya, Ancelotti.

“Anelka memainkan peranan penting dan ia adalah satu gol yang cemerlang. Ia juga satu gol yang penting bagi kami,” kata Carlo Ancelotti.

Gol tersebut boleh disifatkan sebagai pemusnah semangat juang Spartak dan dalam masa yang sama menyemarakkan lagi keazaman Chelsea untuk membuktikan keunggulannya di padang sendiri.

Kerana itu juga tidak hairanlah dalam usaha membendung ketangkasan Chelsea, Spartak ‘menghadiahkan’ penalti yang mudah disempurnakan oleh Drogba pada minit ke-62.

Kahadiran pemain pertahanan gantian, Branislav Ivanovic, yang turut menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Blackburn, turut membawa padah.

Pemain pertahanan Serbia itu sekali lagi membuktikan beliau mampu bertindak di depab gawang lawan apabila melebarkan jurang 3-0 dalam minit ke-66.

Namun begitu, Spartak dapat menarik nafas lega apabila menyaksikan gol Nikita Bazhenzov pada minit ke-86 merapatkan jurang 3-1 dan mungkin mampu memusnahkan lagi kubu Chelsea.

Malangnya, Ivanovic bergerak sebagai pemusnah apabila sekali lagi bertindak cemerlang untuk menjaringkan gol pada minit-minit akhir perlawanan, menjadikan kedudukan selesa 4-1.

Kemenangan ini dengan sekali gus meletakkan Chelsea sebagai wakil England pertama melayakkan diri ke pusingan kedua, peringkat kalah mati pertandingan ini, selepas memungut 12 mata penuh daripada empat perlawanan sejauh ini.

Kemenangan Chelsea itu bagaimanapun bukanlah yang terbesar bagi kumpulannya selepas kelab Perancis, Olympique Marseille, membenam Zilina 7-0 di Slovakia - kemenangan terbesar di padang lawan sejak kejohanan ini bermula pada 1992-93 dan hanya kurang satu gol daripada rekod kemenangan 8-0 yang dicatatkan oleh Liverpool semasa menewaskan Besiktas tiga musim lalu.




coded by nessus

Main topics: Liga Juara Eropah

Sub topics: , ,


Readers Comments (0)