Arsenal beraksi tanpa Fabregas
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger mengesahkan, pasukan itu bakal terlepas khidmat kapten, Cesc Fabregas apabila berkunjung ke Ukraine untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Shakhtar Donetsk awal pagi nanti.
Bintang tengah Sepanyol itu mengalami kecederaan pelipat lutut ketika membantu skuad Gunners mengalahkan West Ham 1-0 dalam saingan domestik hujung minggu lalu.
Kesakitan terus membelenggu pemain itu meskipun Wenger menegaskan bahawa Fabregas tidak mengalami masalah kekejangan, dan menjangkakan dia dapat kembali diturunkan pada perlawanan Liga Perdana menentang Newcastle, Ahad ini.
“Ia cuma langkah berjaga-jaga kerana dia masih mengadu berasa sakit di pelipat lutut. Adalah agak berisiko jika kami tetap menurunkan Fabregas dalam keadaannya yang tidak cergas 100 peratus.
“Saya rasa dia mempunyai peluang yang baik untuk diturunkan Ahad ini, tetapi bukan dalam perlawanan esok (hari ini). Dia tidak mengalami kekejangan, cuma rasa sakit. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan kesakitan itu tetapi kami tidak mahu mengambil risiko,’’ kata Wenger pada sidang akhbar semalam.
Selain Fabregas, tiga lagi tonggak utama Gunners, Andrei Arshavin, Alex Song dan Denilson juga belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan di Ukraine, namun Wenger belum menggugurkan nama tiga trio berkenaan daripada senarai skuad yang akan beraksi.
Jurulatih kelahiran Perancis itu menjelaskan, keadaan ketiga-tiga pemain tersebut akan dipantau sebelum berlepas ke Ukraine.
“Alex Song menghadapi masalah dengan betis, kita akan menjalani pemeriksaan lanjut hari ini. Ketika ini, dia mungkin berpotensi untuk tidak menyertai rakan-rakan sepasukan ke Ukraine.
“Arshavin juga mengalami masalah yang sama, manakala Denilson mengadu sakit di bahagian pangkal paha. Ada empat pemain yang menimbulkan kebimbangan, satu sudah disahkan terkeluar iaitu Fabregas tetapi tiga yang lain masih akan menjalani pemeriksaan lanjut,’’ ujar Wenger lagi.
Luahan Perasaan