Andre Villa-Boas balas ‘serang hendap’
ANDRE Villas-Boas menyelar para pengkritik yang sering melakukan serangan hendap ke atasnya sejak beliau berada di Stamford Bridge.
Malah, pengendali dari Portugal itu nyaris-nyaris menjadi pengurus Chelsea pertama yang memimpin kelab itu tersingkir awal daripada kejohanan berprestij di Eropah, Liga Juara-Juara, sekiranya ia seri apatah lagi kalah kepada Valencia pagi semalam.
Namun, anak buahnya berjaya menyelamatkan beliau apabila mereka membenam wakil kelab La Liga Sepanyol itu 3-0.
Dua gol sumbangan Didier Drogba dan Ramires, ditambah pula kegagalan Bayer Leverkusen memungut tiga mata penuh di padang Racing Genk di Brussels, memberi laluan bagi Chelsea melompat ke tangga pertama Kumpulan E.
Selepas sekian lama Villas-Boas menjadi tumpuan sejak Chelsea mempamerkan persembahan hambar dalam Liga Perdana England dan Eropah, pengurus itu pasti memendam rasa di atas kritikan pedas yang dilempar ke atasnya.
Kini tiba masanya beliau kembalikan ‘paku buah keras’ sebaik Chelsea merayakan kemenangan memberangsangkan tersebut.
“Para pemain tidak mendapat penghormatan seperti yang seharusnya diberikan kepada mereka. Kami telah diburu setiap peminat dan kini kami mungkin memberikan semula tamparan ke atas setiap pengkritik,” kata Villas-Boas.
“Kritikan sudah menjadi isu utama. Buat masa ini, seolah-olah hanya Manchester City satu-satunya pasukan yang ada dalam negeri ini. Liputan media yang diberikan ke atas City seolah-olah mereka berjaya melayakkan diri. City hebat, jika tidak, tidak mengapa.
“Kami tidak dapat layanan yang serupa daripada media.
“Ada kritikan yang sudah melampaui batas. Hingga ada seorang bekas pemain Manchester United menyatakan beliau tidak boleh bermain dengan kelab Chelsea. Saya seakan tidak percaya dan ia seakan suatu penganiayaan yang berterusan terhadap Chelsea.
“Adalah malang buat anda semua (pihak media) kerana anda perlu membuat laporan betapa hebatnya kemenangan yang dicatat Chelsea.’
Antara kritikan tajam yang dilemparkan ke atas Villas-Boas ialah beliau dikatakan mula tidak dihormati para pemainnya dan suka menyendiri, malah ada yang meragui taktik permainan serta penukaran para pemain simpanan.
Villas-Boas menekankan: ‘Terdapat nilai-nilai kemanusiaan yang tidak dapat anda ketepikan dan para pemain telah membuktikannya. Kami mungkin menampilkan strategi yang berbeza, tetapi falsafah yang sama.
“Mengakhiri pusingan kelayakan di tangga pertama adalah hebat. Ia mengatasi semua ramalan awal. Tiada siapa yang berani bertaruh kami akan tamatkan perlawanan di tangga pertama.
“Ini merupakan kejayaan nilai-nilai kemanusiaan, semangat berpasukan, perpaduan, kekuatan karisma dan keupayaan menerima kritikan.”
Luahan Perasaan