Liga Juara Eropah: Wenger tuduh Bayern Munich guna taktik kotor
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menuduh Bayern Munich menggunakan taktik kotor ketika skuad The Gunners tewas 0-2 dalam aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Kekalahan itu meletakkan Arsenal diambang penyingkiran iaitu situasi yang sama seperti pada kempen musim lalu.
Ketika ini, kelab Liga Perdana England itu ketinggalan menerusi agregat dan peraturan gol di tempat lawan hasil jaringan Toni Kroos dan Thomas Mueller masing-masing pada minit ke-54 dan 88.
Skuad The Gunners turut ditimpa malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol utama, Wojciech Szczesny diarahkan keluar padang selepas mengasari Arjen Robben pada minit ke-37.
Wenger berkata, beberapa pemain Bayern dilihat cuba mempengaruhi keputusan pengadil kelahiran Itali, Nicola Rizzoli setiap kali dikasari pemain Arsenal.
Pengendali kelahiran Perancis itu turut mendakwa, Robben berjaya mempengaruhi Rizzoli untuk memberikan sepakan penalti meskipun ia gagal disempurnakan oleh David Alaba.
“Robben memberikan reaksi berlebihan dan dia cukup berpengalaman untuk menghadapi situasi seperti itu.
“Keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti telah membunuh semangat juang pemain-pemain kami.
“Saya berasa kecewa kerana kami bermain dengan baik sebelum Szczesny dibuang padang.
“Saya yakin dalam kempen Liga Perdana England, rempuhan Szczesny itu bukan satu kesalahan yang serius.
“Tiada apa yang boleh dilakukan apabila Bayern semakin yakin untuk menguasai saingan selepas insiden itu,” kata Wenger.
Sementara itu, rakan sejawatan Wenger di Bayern, Pep Guardiola menganggap Rizzoli membuat keputusan yang tepat.
“Ia memang sepakan penalti, Szczesny patut dilayangkan kad merah.
“Pemain juga tenang menyerap tekanan biarpun berdepan lawan yang mempamerkan corak permainan bertahan.
“Namun, kami perlu berhati-hati dan kekal fokus kerana apa jua kemungkinan boleh berlaku pada aksi kedua nanti,” kata Guardiola.
Luahan Perasaan