Liga Juara: Barcelona atau Chelsea?
Barcelona (0) vs Chelsea (1)
Liga Juara Eropah 2011/2012
Separuh Akhir Kedua
LIVE Astro 812, 2.45 pagi
JURULATIH Barcelona, Pep Guardiola masih belum panik ekoran prestasi hambar yang dipamerkan skuad kendaliannya dalam dua perlawanan terakhir yang diharungi mereka.
Skuad The Catalan menerima tamparan hebat apabila tewas 0-1 di tangan Chelsea pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stamford Bridge, 19 April lalu.
Tiga hari kemudian, anak-anak buah Guardiola sekali lagi ditimpa bencana apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi, Real Madrid dalam aksi saingan Liga Sepanyol di Nou Camp.
Bagaimanapun, Guardiola mahu barisan pemainnya melupakan segera kekecewaan tersebut apabila melayan kunjungan Chelsea untuk menghadapi aksi kedua di Nou Camp awal pagi esok.
Meskipun mengakui skuad kendaliannya berdepan tugas berat untuk mengatasi defisit gol yang dimiliki skuad The Blues, Guardiola tetap yakin mereka mampu mengubah keputusan tersebut.
“Kita lihat perlawanan Selasa nanti (awal pagi esok), sama ada dua kekalahan yang kami alami sebelum ini membawa kesan buruk kepada pasukan.
“Apa yang paling penting, saya akan memastikan barisan pemain saya mendapat rehat secukupnya.
“Saya juga akan mencari jalan terbaik bagi membolehkan pemain-pemain saya bersaing dengan barisan pemain Chelsea yang memiliki kelebihan dari aspek fizikal,” kata Guardiola.
Menurut Guardiola, beliau sedar pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo telah merehatkan lapan tonggak utamanya ketika turun menentang Arsenal pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Jelas Guardiola, situasi itu akan memberi kelebihan kepada Chelsea yang pastinya akan tampil lebih bertenaga berbanding Barcelona.
“Chelsea telah merehatkan beberapa tonggak utama mereka sebagai persiapan menghadapi aksi separuh akhir kedua kali ini tetapi tidak bagi kami.
“Namun, itu bukan alasan bagi kami kerana seperti yang saya katakan, saya akan memastikan barisan pemain saya mendapat rehat yang secukupnya.
“Malah, kami akan menganggap perlawanan dengan Chelsea ini sebagai perlawanan yang baharu.
“Saya tidak berasa kecewa dengan corak permainan pemain-pemain saya dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Saya juga sudah memberitahu mereka agar melupakan segera kekecewaan tersebut dan melakukan persiapan untuk menghadapi Chelsea,” jelas Guardiola.
Luahan Perasaan