Udinese rampas teraju Serie A
- Udinese 2-1 Siena
UDINESE merampas teraju Serie A apabila menewaskan Siena 2-1 di tempat sendiri awal pagi semalam.
Gol-gol Udinese berjaya dijaringkan oleh Dusan Basta dan kapten, Antonio Di Natale sementara gol sagu hati Siena dijaringkan oleh Francesco Bolzoni.
Udinese kini mengumpul 21 mata, berkongsi mata dengan Lazio di tempat kedua hasil perbezaan jaringan apabila turut mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Parma semalam.
Peneraju liga sebelum ini, Juventus kini di tempat keempat setelah tidak beraksi apabila perlawanan menentang Napoli sebelum ini ditangguhkan akibat hujan lebat.
Sementara pasukan di tangga ketiga, AC Milan juga beraksi cemerlang apabila berjaya mengutip tiga mata selepas membelasah Catania 4-0.
“Saya memuji persembahan anak buah saya yang beraksi dengan baik di padang.
“Bagi saya, ia adalah kemenangan bermakna buat semua termasuk penyokong setia kami,” kata jurulatih Udinese, Francesco Guidolin.
Sementara itu, jurulatih Lazio, Edy Reja juga lega apabila pasukannya berjaya melonjak ke tangga kedua Serie A.
“Kami harus mengekalkan tempo kemenangan jika mahu kekal berada di kedudukan teratas liga.
“Setakat ini kami tidak mempunyai masalah kerana mempunyai pemain yang biasa beraksi di bawah tekanan,” katanya.
Nada sama juga disuarakan jurulatih Milan, Massimiliano Allegri apabila menyaksikan Zlatan Ibrahimovic, Robinho dan Gianluca Zambrotta berjaya meledak gol di samping gol jaringan sendiri pemain Parma, Francesco Lodi.
Kemenangan itu juga, katanya, memberikan satu rehat yang cukup bermakna buat Milan apabila saingan liga ditangguhkan bagi memberi peluang kepada aksi pasukan kebangsaan Itali yang akan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa selepas ini.
“Sekarang, kami boleh menikmati rehat kali ini dengan hati yang cukup tenang.
“Berjaya mengumpul 20 mata selepas 10 perlawanan memang satu keputusan yang bagus, kami memang berhak untuk berada di kedudukan sekarang,” katanya. — Kosmo Online
Luahan Perasaan