Joe Cole minta maaf kepada penyokong Liverpool
PEMAIN tengah Liverpool, Joe Cole meminta maaf kepada rakan sepasukan apabila beraksi hambar di Anfield, sehingga meletakkan cabaran kelab itu dalam saingan Liga Europa dalam keadaan goyah.
Setelah dilayangkan kad merah ketika menentang Arsenal minggu lalu, Cole gagal menyempurnakan sepakan penalti, ketika menentang Trabzonspor pada perlawanan play-off pertama di Merseyside, kelmarin.
Namun, Liverpool masih mampu mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan tersebut menerusi jaringan Ryan Babel yang dihasilkan sebelum separuh masa pertama berakhir.
Kegagalan Cole menjaringkan penalti, selepas percubaan Lucas dinafikan Serkan Balci, meletakkan skuad Roy Hodgson berdepan tugas sukar di Turki pada perlawanan kedua, minggu depan.
”Sepakan penalti terakhir yang saya lakukan ialah ketika saya berusia 13 tahun dan saya menjaringkan gol,” kata Cole, yang menyertai Liverpool secara percuma setelah dilepaskan Chelsea.
”Selalunya pasukan terlebih dahulu akan memastikan kami mendahului satu gol, barulah saya akan mengambil sepakan penalti.
”Namun, malangnya saya gagal menyempurnakan tugas tersebut.
”Saya masih tercari-cari rentak permainan, saya tetap gembira bermain di sini dan kami telah memulakan aksi dengan baik. Kini, saya semakin cergas dan mantap dalam setiap perlawanan,” katanya.
Cole mengakui masih banyak lagi yang perlu Liverpool lakukan, jika berhajat untuk layak ke saingan peringkat kumpulan.
Sebelum itu, Cole melakukan hantaran menarik kepada Babel, bagi meletakkan Liverpool mendahului sebelum rehat.
”Kami memenangi perlawanan ini 1-0 dan kami masih mampu menilainya dari sudut positif.
”Saya gembira kami menang, tetapi, pencapaian ini bukanlah yang terbaik.
”Masih banyak perlawanan yang perlu kami harungi dan sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah buat kami.
”Bertandang ke Turki bukan satu perkara yang mudah dan kami perlu memberikan yang terbaik sekiranya berhasrat untuk layak,” kata Cole.
Hodgson berkata: ”Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana kami gagal menyempurnakan sepakan penalti.”
Luahan Perasaan