Aksi sulung Balotelli julang City
MARIO Balotelli membuat penampilan sulung bersama Manchester City dengan menjaringkan gol tunggal untuk membantu kelab itu menang 1-0 ke atas kelab Romania, Timisoara 1-0 dalam perlawanan playoff pertama Liga Europa di gelanggang lawan, kelmarin.
Perlawanan melibatkan satu lagi kelab Liga Perdana England berkesudahan dengan Liverpool mengalahkan wakil Turki, Trabzonspor juga 1-0 hasil jaringan Ryan Babel.
Reds sepatutnya mampu memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan yang lebih besar, tetapi gol Christian Poulsen dinafikan oleh pengadil.
Tambah malang, Joe Cole pula gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Balotelli, yang menyertai City dari Inter Milan minggu lalu dengan bayaran 29 juta euro (RM116.5 juta), memulakan saingan dari bangku simpanan, sebelum dimasukkan pada mini ke-57, menggantikan Gareth Barry.
Pada minit ke-72, tidak lama selepas rembatan Yaya Toure terkena palang, Balotelli menyambut hantaran cantik Emmanuel Adebayor, untuk merembat bola ke penjuru gawang lawan.
“Ini adalah permulaan yang baik buatnya dan saya sangat gembira kerana dia menjaringkan gol. Dia pemain yang bagus.
“Sudah pasti dia masih perlu meningkatkan permainan dan lebih memahami rakan-rakan sepasukan yang lain.
”Bagaimanapun, bagi perlawanan pertama bersama pasukan, ia satu persembahan yang bagus,” kata pengurus City, Roberto Mancini.
Balotelli bagaimanapun dilayangkan kad kuning selepas gagal mengawal perasaan, sekali gus mendorong Mancini memberi amaran kepada pemain berusia 20 tahun itu, agar tidak mengulangi perbuatannya apabila perlawanan kedua berlangsung di England selepas ini.
Sementara itu, Aston Villa yang beraksi tanpa jurulatih, Martin O’Neill dan bintang tengah, James Milner kerana kedua-duanya meninggalkan kelab baru-baru ini, masih mampu menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-1 menentang Rapid Vienna di Austria.
Villa bermula baik apabila hantaran lintang pemain sayap, Marc Albrighton ditolak masuk oleh Barry Bannan untuk gol pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-12.
Tuan rumah bagaimanapun, bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-30, apabila Atdhe Nuhiu menyempurnakan hantaran Steffen Hofman.
Dalam perlawanan lain, gergasi bola sepak Scotland, Celtic mencatat kemenangan selesa, apabila menumpaskan kelab Belanda, Utrecht 2-0 di Glasgow.
Skuad Bhoys membuka jaringan pada minit ke-19, menerusi pemain tengah Mexico, Efrain Juarez sebelum menambah jaringan menerusi penyerang Greece, Giorgos Samaras pada minit ke-34.
Dua lagi perlawanan melibatkan kelab Scotland, menyaksikan Dundee United tumpas 0-1 di tempat sendiri kepada kelab Greece, AEK Athens selepas dihukum gol tunggal penyerang Algeria, Raffik Djebbour, manakala Motherwell tumpas 1-2 kepada Odense di Denmark.
Bekas ketua pasukan Jerman, Michael Ballack pula membuat penampilan pertama bersama kelab barunya, Bayer Leverkusen sejak berpindah dari Chelsea, musim panas lalu.
Dibawa masuk pada babak kedua, Ballack, yang terlepas Piala Dunia kerana kecederaan buku lali, menjaringkan gol menerusi penalti untuk membantu Leverkusen mencatat kemenangan selesa ke atas kelab Ukraine, Simferopol 3-0.
Juventus memerlukan jaringan lewat minit menerusi Amauri untuk menumpaskan wakil Austria, Sturm Graz 2-1, manakala kelab Perancis, Paris St Germain mengalahkan Maccabi Tel Aviv 2-0. Dalam satu lagi saingan di Romania, Lille seri tanpa jaringan dengan Vaslui.
Wakil Rusia, Sibir Novosibirsk mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Belanda, PSV Eindhoven. Kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.
Satu lagi kelab Rusia, CSKA Moscow pula hampir menempah tiket ke peringkat kumpulan, selepas membelasah wakil Cyprus, Anorthosis Famagusta 4-0.
Kelab Sepanyol, Villarreal, menang besar 5-0 ke atas Dnepr Mogilev dari Belarus.
Luahan Perasaan