Bola Sepak Itali dipalit skandal rasuah, 19 individu ditahan

Juventus coach Antonio Conte
Jurulatih Juventus Antonio Conte antara individu dilapor terlibat skandal rasuah Liga Itali

POLIS Itali sedang menyiasat skandal mengatur perlawanan bola sepak melibatkan jurulatih Juventus, Antonio Conte yang kini dalam siasatan dan turut menahan kapten Lazio, Stefano Mauri serta bekas pemain tengah Genoa, Omar Milanetto.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak polis semalam, lima individu turut ditahan di Hungary yang disyaki terbabit dalam perjudian haram antarabangsa yang dipercayai didalangi seorang warganegara Singapura dikenali sebagai Tan Seet Eng yang telah pun ditangkap Disember lalu.

Polis di bandar utara Cremona berkata, mereka telah menahan 19 orang dan menyiasat Conte, yang masih segar dengan kejayaannya membawa Juventus menjuarai Serie A buat pertama kali sejak kelab itu disingkirkan ke liga bawahan pada 2006, ekoran terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Siasatan juga telah dijalankan di rumah beberapa pemain, jurulatih dan pentadbir kelab dalam Serie A, Serie B dan divisyen paling rendah, Lega Pro kerana disyaki terlibat dalam skandal mengatur perlawanan bagi pihak organisasi jenayah antarabangsa.

Operasi, semalam adalah sebahagian daripada ‘Last Bet’, siasatan yang diperluaskan dalam bola sepak Itali yang telah pun menyaksikan beberapa penangkapan dilakukan ke atas pemain dan bekas pemain negara itu.

“Untuk siasatan kali ini, kita telah dapat mengesan tanda-tanda manipulasi perlawanan Serie A 2010-11, termasuk pertemuan antara Lazio dan Genoa serta Lecce dan Lazio,” kata pengarah SCO, Raffale Grassi, sebuah agensi polis yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan tersebut kepada televisyen SkyTG24.

Pada Jun tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengendalikan kes mengatur perlawanan sebagai maklum balas kepada beberapa kes berprofil tinggi. — Utusan

Euro 2012: Criscito digugur dari Skuad Itali

ROME: Domenico Criscito tidak akan menyertai skuad Itali pada kempen Euro 2012 berikutan pembabitannya dalam skandal mengatur perlawanan, jelas Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Demetrio Albertini.

Criscito sudah menerima notis dakwaan dalam satu serbuan di bilik hotel berhampiran Florence yang menjadi pangkalan latihan skuad Itali.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli dijangka mengumumkan barisan 23 pemainnya tapi Albertini mengesahkan Criscito tidak akan tersenarai.

“Ia keputusan bersama Prandelli dan pihak persekutuan,” kata Albertini.

“Criscito kecewa digugurkan daripada skuad kebangsaan. Dia memperjelaskan isu itu dan saya percaya katanya-katanya dan dia tidak bersalah.” Dalam beberapa serbuan lain, 19 orang ditahan polis bagi membantu siasatan membabitkan kes perjudian haram oleh pendakwa raya Cremona.

Daripada jumlah itu, 14 ditangkap, tiga dijatuhkan hukuman tahanan rumah dan dua lagi diarah menyerah kepada polis.

Kapten Lazio, Stefano Mauri dan pemain tengah Padova, Omar Milanetto yang beraksi di Genoa adalah antara yang ditahan.

Tetapi paling mengejutkan adalah serbuan di pangkalan skuad Itali yang menyaksikan polis melakukan serbuan pada jam 6.35 pagi.

Bilik Criscito digeledah tetapi difahamkan tiada barang diambil polis.

Pendakwa raya Cremona, Stefano Di Martino berkata, tiada pemain kebangsaan terbabit dan Criscito mungkin boleh menyertai skuad Euro kerana dia hanya membantu polis melakukan siasatan.

Dia menghadapi tuduhan membabitkan satu pertemuan dihadirinya pada Mei tahun lalu ketika bersama Genoa bersama dua penyokong kelab itu serta rakan sepasukan Giuseppe Sculli dan seorang warga Bosnia yang mempunyai rekod jenayah.

Skandal terbaru ini dipercayai membabitkan sekumpulan warga Hungary, kumpulan gipsi di Itali serta ketua sindiket jenayah di Singapura.

Dua warga Hungary ditahan semalam sementara tiga lagi sudah ditangkap. Seorang lagi memberikan kerjasama dengan pihak polis.

Euro akan membuka tirainya kurang dua minggu lagi. Itali akan bertemu Luxembourg, hari ini dan mengakhiri siri perlawanan persahabatan bertemu Russia, Jumaat ini. - AFP/HM

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

2 Responses to Bola Sepak Itali dipalit skandal rasuah, 19 individu ditahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>