Benitez optimis Sergio Ramos kekal bersama Real Madrid
Pengurus Real Madrid, Rafael Benitez menolak khabar angin mereka membida David de Gea dan berkata, beliau yakin Sergio Ramos akan kekal di kelab itu selepas menyaksikan pasukannya menundukkan Inter Milan 3-0 di Guangzhou, kelmarin.
Bintang Real, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo bertindak cemerlang pada babak pertama, James Rodriguez menyumbat satu gol menakjubkan manakala Jese Rodriguez dan Raphael Varane turut menjaringkan gol.
Namun Benitez sekali lagi terpaksa berdepan persoalan mengenai khabar angin perpindahan sebelum beliau memuji pemainnya berikutan kemenangan bermakna pada Piala Juara-Juara Antarabangsa itu.
Terdahulu, Manchester United membeli penjaga gol Argentina, Sergio Romero kelmarin sekali gus mencetus spekulasi penjaga gol Sepanyol, De Gea akan kembali ke negara asalnya, kemungkinan dalam perjanjian pertukaran membabitkan kapten Real, Ramos.
“De Gea?” kata Benitez apabila ditanya mengenai khabar angin itu oleh wartawan. “Apa yang saya tahu kami menjaringkan tiga gol dan saya amat gembira.”
Benitez menjelaskan Ramos sudah bertemu presiden kelab Florentino Perez di Guangzhou kelmarin dan mengulangi keyakinannya pertahanan itu kekal dan akan menandatangani kontrak baru tidak lama lagi.
“Saya bertanyakan Perez bagaimana pertemuan dengan Ramos,” kata Benitez. “Beliau memberitahu saya kedua-dua pihak optimis. Saya juga optimis.”
Di padang, ia persembahan Galacticos moden dengan Ronaldo dan Bale mencuri tumpuan serta menghiburkan hampir 40,000 penonton di Stadium Tianhe.
“Sikap pemain amat bagus ketika pramusim,” ujar Benitez.
“Untuk menjaringkan tiga gol dan tidak dibolosi membuktikan kerja keras kami berbaloi. Ia persembahan fantastik dan amat bagus.”
Luahan Perasaan