Bahang pertembungan Manchester City-Manchester United

Manchester City vs Manchester United | 30 April 2012
Sir Alex Ferguson vs Roberto Mancini 30.04.2012

Manchester City vs Manchester United
Stadium Etihad, LIVE Astro 812
3.00 pagi, 1 Mei 2012

MENJELANG detik getir pertemuan dua tetangga, Manchester City dan Manchester United di Stadium Etihad, awal pagi nanti ada persoalan hangat timbul apakah Alex Ferguson akan berundur sama seperti dilakukan Pep Guardiola dari Barcelona.

Mengerti pengurus The Red Devils itu dia tidak akan melakukan keputusan sama kerana dia sentiasa melihat kepada gambaran lebih besar, tambahan sudah diketahui betapa dia kerap mampu bangkit pada situasi paling tertekan untuk kembali semula ke landasan kemenangan.

Pertembungan ini bakal disaksikan 650 juta penonton secara global dari kira-kira 203 negara dan kelibat bintang seperti Wayne Rooney dan Carlos Tevez boleh menjadi penentu kemenangan pasukan masing-masing.

City akan melonjak selaku pendahulu andai menang atas kelebihan perbezaan jaringan.

Sementara itu Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan Manchester United tetap akan menjadi pasukan pilihan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekalipun sekiranya mereka tewas pada pertembungan musuh setempat di Stadium Etihad, awal pagi esok.

Mancini berulang kali menyatakan peluang City untuk memenangi gelaran musim ini tipis walaupun mereka berjaya mengurangkan jurang lapan mata kepada tiga mata.

Kemenangan dalam pertembungan Manchester paling menarik dalam sejarah itu akan membolehkan City kembali merampas kedudukan liga menerusi perbezaan gol dengan saingan berbaki dua perlawanan namun Mancini masih tidak mahu terlalu mengharap.

Ketika ditanya jika beliau terkejut apabila United membenarkan City kembali bersaing, Mancini berkata: “Saya tidak terkejut kerana ini lumrah dalam bola sepak, selagi anda belum menamatkan semua perlawanan, apa saja boleh berlaku.

“Tapi pendapat saya tetap sama, saya fikir mereka mempunyai peluang lebih baik berbanding kami.

“Kami akan turun beraksi dalam perlawanan setempat Isnin ini (awal pagi esok) dan kemudian menentang Newcastle, ia perlawanan cukup sukar dan selepas itu QPR.

“Sebaliknya United pula akan menentang Swansea dan Sunderland yang saya fikir perlawanan mudah buat mereka.

“Saya fikir jika kami menang perlawanan ini, mereka tetap pasukan pilihan.” Mancini bagaimanapun bersetuju dengan pandangan rakan sejawatnya di Manchester United, Alex Ferguson mengenai kepentingan perlawanan awal pagi esok.

Ferguson menyifatkan perlawanan itu sebagai “perlawanan setempat paling penting dalam sejarah” dan perlawanan terbesar dalam kariernya.

Mancini berkata: “Saya setuju. Saya fikir selepas 50 tahun, Manchester United dan Manchester City bersaing untuk merebut gelaran. Atas sebab ini saya setuju dengan pandangannya.”

Penyerang kontroversi, Mario Balotelli boleh diturunkan selepas digantung tiga perlawanan kerana dibuang padang ketika menentang Arsenal awal bulan ini dan akan kembali menguatkan City yang bebas daripada sebarang kecederaan pemain.

Tonggak Manchester United, Nani pula menegaskan, ia adalah sesuatu yang cukup memalukan sekiranya mereka gagal menjulang trofi Liga Perdana England musim ini.

“Bagi saya, ia sesuatu yang cukup memalukan jika kami gagal muncul juara liga musim ini.

“Ia sememangnya satu malapetaka buat kami. Kami begitu cuai dalam beberapa perlawanan terakhir kami sebelum ini dan kami perlu bertanggungjawab sekiranya kami gagal menjulang trofi liga.

“Menamatkan saingan tanpa sebarang trofi sememangnya memalukan buat kelab besar seperti United. Saya berpendapat, kami tidak mempunyai sebarang alasan jika gagal,” kata Nani.

Pendapat Nani dipersetujui Ferguson yang menyifatkan peluang mereka muncul juara tertutup rapat sekiranya tewas awal pagi esok.

“Jika menang ataupun seri, kelebihan dilihat masih bersama kami namun jika tewas, kami sudah boleh melupakannya. Saya rasa, City tidak mempunyai sebarang masalah dalam baki dua perlawanan mereka jadi mahu tidak mahu kami perlu menang.”

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>