Zico tetap tawar diri tanding Presiden FIFA
Lagenda bola sepak Brazil, Zico secara rasmi sudah meminta Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) untuk mengemukakan namanya sebagai calon Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menggantikan Sepp Blatter.
Namun, Zico, 62, yang sebelum ini tidak mendapat sokongan kuat dari pihak pengurusan atasan CBF berkata, beliau tetap menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu badan bola sepak dunia itu meskipun tidak mendapat sokongan CBF.
“Pilihan pertama adalah seperti ini, Saya seorang rakyat Brazil, saya memberi perkhidmatan saya kepada pasukan Brazil selama 10 tahun,” kata Zico kepada laman web sukan Globo Esporte.
“Saya sudah menghantar surat kepada presiden (CBF)… menyatakan mengapa saya menawarkan diri untuk bertanding dan kini saya menunggu surat jawapan untuk mengetahui sama ada dia mahu menerima atau tidak.
“Tapi saya tidak mahu menunggu lama kerana masa berlalu pantas dan kami mempunyai pilihan yang lain,” katanya.
Blatter mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri pada 2 Jun lalu, sebaik memenangi pemilihan jawatan Presiden FIFA untuk penggal kelima ketika dibelenggu dengan tuduhan terbabit dengan skandal rasuah.
Pada minggu lalu, Blatter mengumumkan pemilihan penggantinya akan diadakan pada 26 Februari 2016. Antara pencabar utama jawatan itu ialah Presiden UEFA yang juga bekas bintang Perancis, Michel Platini - yang menjadi seteru Zico di padang sekitar 1980-an termasuk pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1986.
Zico yang sudah mengendalikan beberapa pasukan termasuk Jepun dan Iraq dan kelab kecil Goa, di India dikatakan tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan badan bola sepak antarabangsa.
Luahan Perasaan