Sukan Asia 2010: Cabaran Malaysia berakhir di tangan Iran
Malaysia gagal saingi kehebatan pasukan Iran
PASUKAN bola sepak bawah 23 tahun negara menamatkan kempen Sukan Asia di pusingan kedua selepas kalah 1-3 kepada Iran. [LIHAT VIDEO]
Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha menerusi tendangan penalti pada minit ke-86.
Serangan bertali arus Iran berjaya diserap sepanjang 45 minit babak pertama dengan penjaga gol bekerja keras mematah setiap percubaan pemain lawan.
Namun kekebalan Khairul Fahmi di benteng terakhir akhirnya lebur juga menerusi rembatan Karim Ansari pada minit ke-53.
Seyed Hosseini menjadikan kedudukan 2-0 buat Iran berpunca daripada bola tendangan sudut dari arah sebelah kanan pintu gol Malaysia minit ke-59.
Gawang Malaysia bocor buat kali ketiga pada minit ke-67 menerusi percubaan leret Amir Sharafi dari luar kotak penalti.
Iran akan bertemu Oman di suku akhir selepas pasukan dari Timur Tengah itu menewaskan Hong Kong 3-0 dalam perlawanan yang turut berlangsung serentak.
Manakala cabaran pasukan tuan rumah, China yang mencipta kemenangan kontroversi ke atas Malaysia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan kelmarin turut berakhir selepas tumpas 3-0 kepada Korea Selatan.
Uzbekistan pula menundukkan juara bertahan, Qatar 1-0 dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan untuk mara ke suku akhir bertemu Korea Selatan.
Empat lagi perlawanan pusingan kedua berlangsung esok.
Perlawanan suku akhir acara bola sepak dijadualkan pada 19 November (Jumaat).
Luahan Perasaan