Capello puji aksi Wilshere
FABIO Capello memuj persembahan Jack Wilshere selepas pemain muda itu membantu England menang 2-0 ke atas Wales pada perlawanan kelayakan Euro 2012, semalam.
Pemain Arsenal itu hanya beraksi 52 minit pada perlawanan tersebut tetapi ia sudah cukup meletakkan England pada kedudukan selesa untuk layak ke Euro 2012 di Poland dan Ukraine.
Gol Frank Lampard dan Darren Bent memastikan tiga mata menjadi milik England, namun persembahan mempersonakan pemain berusia 19 tahun, Wilshere memberikan Capello keyakinan yang cukup tinggi.
“Dia cukup menakjubkan, persembahannya pada musim ini amat baik. Dia mempamerkan peningkatan dari segi kepantasan dalam masa yang singkat, ” kata Capello.
Wilshere menjadi pemain utama skuad Arsenal musim ini dan membuatkan ramai pemerhati bola sepak kagum ketika Gunners tewas kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara.
Pemain muda itu semakin hampir untuk dipilih dalam kesebelasan utama England, apabila bergandingan dengan Lampard dan Scott Parker di bahagian tengah.
Capello pernah berbincang dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengenai kemampuan Wilshere dan mereka terkejut dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pemain muda itu.
“Saya ada bercakap dengan Wenger dan Wenger memberitahu perkara yang sama, iaitu menakjubkan. Dia seperti seorang pemain berusia 28, 29 tahun dengan 35 atau 40 cap bersama skuad kebangsaan. Pemain yang baik sentiasa meningkat, ” katanya.
Wilshere bagaimanapun enggan termakan pujian sebaliknya menganggap dia masih mentah dari segi pengalaman, jika hendak dibandingkan dengan pemain lain.
“Inilah perkara yang anda mahu dengar tetapi pada usia saya, saya baru sahaja berusia 19 tahun, masih banyak lagi pemain yang lebih baik seperti Steven Gerrard
“Saya harus bekerja keras untuk kelab dan lihat jika pengurus akan mengambil saya untuk perlawanan antarabangsa, ” kata Wilshere.
Capello tidak mahu melayan anggapan bahawa kemenangan semalam akan membersihkan keputusan kontroversinya meletakkan John Terry sebagai kapten, ekoran kecederaan Rio Ferdinand.
“Kenapa? Adakah keputusan ini tidak seperti yang anda mahukan? Ia normal. Ia adalah kerja saya. Apabila anda menang, andalah yang terbaik tetapi kalau kalah…” katanya.
Dia juga enggan meletakkan pujian kepada Terry semata-mata sebaliknya meletakkan persembahan cemerlang pemain sayap Aston Villa, Ashley Young yang mempunyai gerakan dan kepantasan sehingga kerap kali memberikan pertahanan Wales banyak masalah.
“Semua pemain bermain cukup baik tetapi ada beberapa pemain beraksi cukup hebat. Ashley Young antaranya… Tahun ini dia menjadi pemain yang cukup bagus. Dia bermain dengan cemerlang ketika di Denmark, begitu juga pada pagi ini,” ujar Capello. -Utusan Malaysia
Luahan Perasaan