Zambia lakar sejarah gemilang
BARISAN pemain Zambia meraikan kejayaan muncul juara Piala Negara-Negara Afrika 2012 di Stade de l’Amitie di Libreville, Gabon awal pagi semalam.
ZAMBIA melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menjuarai kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika selepas menewaskan Ivory Coast 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi semalam.
Pada aksi final di Stade de l’Amitie itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Ivory Coast berpeluang muncul juara pada edisi kali ini apabila memperoleh sepakan penalti pada babak kedua.
Bagaimanapun, bintang Chelsea, Didier Drogba gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-69, sekali gus gagal menjulang Ivory Coast memenangi final tersebut.
Skuad ‘generasi emas’ Ivory Coast yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang juga harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengatasi semangat berpasukan yang ditampilkan Zambia.
Pada aksi penentuan sepakan penalti, Kolo Toure dan Gervinho gagal menyumbat masuk gol buat Ivory Coast seperti mana yang dilakukan Tiote, Bony, Bamba, Gradel, Drogba, Tiene dan Ya Kona.
Di pihak Zambia pula, Chris Katongo, Mayuka, Chansa, Felix Katongo, Mweene, Sinkala, Lungu dan Stoppila Sunzu masing-masing dianggap wira apabila berjaya menyempurnakan sepakan.
Penjaga gol Zambia, Mweene juga harus diberi pujian kerana menampilkan aksi cemerlang sepanjang permainan dan berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Toure, sekali gus menghampakan impian skuad The Elephants untuk merangkul trofi pertama sejak tahun 1992.
“Sukar untuk menerima kekalahan ini, terutamanya apabila kamu mengambil bahagian dalam satu kejohanan dan kamu tidak memboloskan gol serta menjaringkan sembilan gol,” kata jurulatih Ivory Coast, Francois Zahoui.
Sementara itu, jurulatih Zambia, Herve Renard ternyata gembira dengan kejayaan membantu Zambia memenangi gelaran pertama dalam kejohanan utama.
“Bagi kamu, mungkin ia sesuatu yang dianggap luar biasa apabila bertindak seperti ini (menjerit di tepi padang) tetapi mereka (para pemain) mengenali saya,” kata Renard.
“Mereka perlu diberi tekanan. Kadangkala konsentrasi mereka kurang tetapi apabila kamu memberi tekanan, mereka mampu melakukan sesuatu yang dianggap magis.” — Kosmo
Zambia Juara Piala Afrika 2012
Luahan Perasaan