Sepanyol cipta sejarah pertahan gelaran Eropah
- Sepanyol catat sejarah pasukan pertama menang 2 gelaran EURO berturut-turut
- Sepanyol pasukan pertama menang 3 kejohanan antarabangsa berturut-turut
- Sepanyol catat rekod kemenangan terbesar perlawanan akhir EURO
Sepanyol membenam Itali 4-0 untuk menjuarai kejohanan EURO 2012 dan mencatat sejarah menjadi pasukan pertama untuk memenangi tiga pertandingan antarabangsa berturut-turut.
Jaringan David Silva dan Jordi Alba di separuh masa pertama dan jaringan lewat Fernando Torres dan Juan Mata turut mengesahkan Sepanyol sebagai pasukan pertama menjuarai EURO dua kali berturut-turut selepas memenangi kejohanan EURO 2008.
Sepanyol membuka tirai dengan jaringan hebat melalui tandukan David Silva.
Andres Iniesta menghantar bola kepada Cesc Fabregas di sayap kanan dan bekas pemain tengah Arsenal itu kemudian menghantar bola ke dalam kotak penalti untuk Silva menanduk masuk dari jarak dekat.
Mereka menjaringkan gol kedua sebelum masa rehat selepas hantaran hebat Xavi melepaskan bek kiri Alba di sayap kiri. Pemain yang akan menyertai Barcelona musim depan itu kemudian menjaringkan dengan mudah melepasi Gianluigi Buffon.
Walaupun statistik menunjukkan Itali mempunyai lebih banyak kawalan bola daripada Sepanyol di separuh masa pertama, mereka tidak dapat membuat serangan yang mengancam dengan benteng pertahanan Sepanyol, terutama sekali ketua pasukan Iker Casillas, kelihatan sangat kukuh.
Casillas berjaya menghalang percubaan-percubaan daripada Antonio Cassano, Mario Balotelli dan Riccardo Montolivo untuk memastikan pasukannya tidak dibolosi.
Jurulatih Itali Cesare Prandelli menggantikan Cassano dengan Antonio di Natale di separuh masa kedua dan penyerang Udinese itu mempunyai dua peluang baik untuk menjaringkan gol tetapi tandukannya terlalu tinggi dan percubaan beliau selepas itu dihalang sekali lagi oleh Casillas.
Itali terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas pemain gantian Thiago Motta, yang telah menggantikan Montolivo sebelum itu, mengalami kecederaan sebelum pemain-pemain gantian Sepanyol Torres dan Mata menjaringkan gol ketiga dan keempat untuk membantu Sepanyol catat kemenangan terbesar di perlawanan akhir sepanjang penganjuran kejohanan EURO.
Kemenangan terbesar sebelum ini dicatat pada edisi Final 1972 apabila Jerman Barat menewaskan Kesatuan Soviet (USSR) 3-0.
Tambah manis buat Sepanyol apabila penyerangnya, Fernando Torres turut menang kasut emas EURO 2012.
Pingback: » Sepanyol Juara EURO 2012 | Sokernet