Giliran Brazil tersingkir
PARAGUAY menyingkirkan juara bertahan Brazil daripada kejohanan Copa America semalam apabila memenangi pertembungan suku akhir 2-0 menerusi penentuan penalti, selepas perlawanan hambar yang menyaksikan kedua-dua pasukan gagal meledak gol selepas masa tambahan.
Sehari selepas tuan rumah Argentina disingkirkan, juga menerusi penentuan penalti kepada Uruguay, kejutan berterusan apabila Venezuela mara ke separuh akhir buat pertama kali dengan menang 2-1 ke atas Chile.
Oswaldo Vizcarrondo meletakan Venezuela mendahului pada minit ke-34, dan Humberto Suazo menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Gabriel Cichero menjaringkan gol kemenangan Venezuela, untuk mengejutkan Chile yang empat kali beraksi pada babak akhir,
Venezuela akan menentang Paraguay, yang kali terakhir muncul juara pada 1979, dalam perlawanan separuh akhir Khamis ini di Mendoza, iaitu selepas perlawanan Uruguay dan Peru di La Plata.
Kejutan terbesar kelmarin ialah Brazil, bukan hanya disebabkan penyingkiran mereka tetapi cita-cita besar mereka pada kejohanan tersebut.
Mereka mempunyai peluang menjaringkan gol menerusi Ganso dan Pato, namun dinafikan dengan cemerlang Justo Villar di pintu gol Paraguay.
Lebih malang, penentuan penalti tidak memihak Brazil.
Marcelo Estigarribia dan Christian Riveros menyempurnakan penalti untuk Paraguay, manakala Elano, Thiago Silva, Andre Santos dan Fred semuanya gagal menyempurnakan penalti.
Jurulatih Brazil, Mano Menezes berkata: “Apabila anda kalah, anda tahu bahawa anda melakukan kesilapan.
“Namun ia berlaku dalam bola sepak dan anda harus hidup dengan keadaan ini. Matlamat kami hanyalah untuk membentuk pasukan yang kuat pada kejohanan ini dan Piala Dunia 2014,” katanya.
Juara Dunia lima kali yang akan menjadi tuan rumah kejohanan edisi akan datang, berazam memberikan yang lebih baik kepada penyokong mereka pada 2014 berbanding apa yang mereka lakukan di sini.
Penyerang Brazil, Robinho cuba bersikap positif dengan kekalahan semalam.
“Secara keseluruhan saya rasa kami bermain baik. Namun mulai sekarang kami harus terus meningkat demi menjulang Piala Dunia di tanah air sendiri,” katanya.
Luahan Perasaan