RYAN Giggs menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti untuk membolehkan Manchester United terus menekan Chelsea sebagai pendahulu Liga Perdana dengan menewaskan Tottenham 3-1 hari ini.
Giggs, 36, memulakan jaringan dan menamatkannya pada separuh masa kedua untuk menjadikan juara bertahan itu dua mata mengatasi Chelsea, yang akan melayan Stoke esok.
United jelas menganggap pertemuan menentang Spurs sangat penting apabila mereka menguasai keseluruhan perlawanan separuh masa pertama dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya melalui Dimitar Berbatov dan Giggs.
Pada minit ke-29 Nani berjaya membawa bola dari kawasan sendiri di sebelah kiri dan melakukan hantaran silang menuju ke arah Berbatov, bagaimanapun percubaan penyerang Bulgaria itu berjaya dihalang pertahanan Spurs, Ledley King.
Tidak sampai seminit United sekali lagi memperoleh peluang terbaik kali ini melalui pemain sayap Antonio Valencia yang menyaksikan rembatannya dari luar petak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Heurelho Gomes.
Separuh masa kedua menyaksikan Spurs cuba bangkit dan melakukan serangan awal minit ke-46 melalui Roman Pavlyuchenko hasil gerakan David Bentley yang membawa bola ke dalam petak penalti, namun rembatan penyerang Rusia itu tidak menepati sasaran.
Wilson Palacios cuba untuk mencari gol pendahuluan buat pasukan bimbingan Harry Redknapp apabila dia tiga pemain United sebelum melepaskan rembatan dari luar petak penalti pada minit ke-53, namun ia berjaya diselamatkan Edwin van der Sar.
Lima minit berselang Giggs meletakkan United di depan hasil sepakan penalti selepas Benoit Assou-Ekotto mengasari Patrice Evra, pemain veteran itu menyepak ke sebelah kanan dan bola melepasi bawah tangan Gomes.
Pada minit ke-69 Spurs berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan King, ia berpunca dari sepakan sudut Gareth Bale yang menyaksikan King melompat tinggi melepasi Michael Carrick menanduk bola menuju ke sudut kanan gawang United.
Kedudukan berubah pada minit ke-81 apabila apabila Nani kembali meletak United di depan hasil hantaran ke depan cantik pemain gantian, Federico Macheda dan Nani berlari mengejar bola tersebut sebelum menyungkit melepasi Gomes di dalam petak penalti.
Giggs sekali lagi menjadi wira buat United apabila menambah gol ketiga juga melalui sepakan penalti apabila Nani dijatuhkan Palacios dalam petak penalti, sekali lagi Gomes tewas dengan sepakan penalti Giggs walaupun dia merebahkan badan ke arah yang betul.
Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson memuji gol kedua yang disumbangkan oleh pemain Portugal, Nani yang menganggap gol tersebut sangat hebat.
“Saya melihat jaringan Nani sangat menakjubkan, dia seperti ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa dia mempunyai keazaman yang tinggi.
“Bagaimanapun saya risau tentang kecederaan yang dialami Wayne Rooney sukar untuk mengatakan tentang peluangnya, kecederaan pangkal paha memang teruk. Saya rasa ia akan mengambil dua atau tiga minggu untuk sembuh.
“Kami akan cuba (mengembalikannya beraksi semula musim ini). Kami akan memberinya segala peluang dan Wayne agak terdesak untuk beraksi tetapi kita akan tunggu dan lihat,” kata Ferguson.
Leave a Reply: