WALAUPUN terus memberi tekanan kepada Chelsea selepas mengalahkan Tottenham 3-1 kelmarin, namun Manchester United resah kerana terpaksa meneruskan pemburuan kejuaraan Liga Perdana England tanpa penyerang utama, Wayne Rooney.
Selepas disisihkan daripada pertemuan menentang Spurs, pengurus United, Alex Ferguson mengakui, penyerang England itu mungkin direhatkan dua atau tiga minggu lagi kerana kecederaan pangkal paha yang dihadapi pada sesi latihan, Khamis lalu.
Ia bakal menyebabkan Rooney, penjaring terbanyak United dengan 26 gol liga musim ini terlepas dua perlawanan terakhir menentang Sunderland, 2 Mei dan Stoke City pada 9 Mei.
“Pada masa ini sukar untuk dijelaskan (berapa lama Rooney tidak dapat beraksi).
“Kecederaan pangkal paha yang dihadapinya mungkin menyebabkan dia terlepas saingan tiga minggu,” kata Ferguson.
Kehilangan Rooney pada peringkat genting adalah sesuatu yang membimbangkan, namun United membuktikan masih mampu melakar kemenangan tanpa sumber gol utama mereka.
Menentang Tottenham kelmarin, Ryan Giggs menyempurnakan dua penalti selepas Benoit Assou-Ekotto mengkasari Patrice Evra dan Wilson Palacios menjatuhkan Nani, yang turut menjaringkan satu gol buat United.
“Kami bermain dengan amat baik hari ini (semalam). Kami berhak menang ke atas antara pasukan terbaik liga.
“Wayne mengalami kecederaan pangkal paha dan kami akan melakukan ujian kecil ke atasnya, namun tanpa Wayne, kami tetap mencipta beberapa peluang berdepan Tottenham. Dimitar (Berbatov) tidak bernasib baik kerana percubaannya dihalang pemain lawan pada babak pertama dan beberapa rembatannya sedikit tersasar.
“Kami perlu melajukan permainan pada babak kedua dan kami melakukannya dengan baik. Saya serahkan kepada Giggs dan Nani siapa yang mahu ambil penalti selepas ketiadaan Wayne, dan saya fikir pengalaman membantu Ryan.
“Dia mengambil dua penalti yang baik, saya percaya pengalaman menjadi penentu perlawanan ini,” ujar Ferguson lagi.
Selepas ketinggalan menerusi penalti Giggs, Spurs menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-70 menerusi tandukan Ledley King, namun ia tidak mampu membantu pasukan London itu untuk membawa pulang tiga mata.
Leave a Reply: