Piala AFC: Indra Putra ketuai cabaran Kelantan hadapi Navibank

Navibank Saigon vs Kelantan - Piala AFC 2012
Navibank Saigon vs Kelantan - Piala AFC 2012

KELANTAN menjanjikan tentangan sengit apabila turun bertemu wakil Vietnam, Navibank Saigon dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan H kempen Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thong Nhat petang ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, walaupun kehilangan khidmat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang terpaksa disisihkan ekoran masalah kecederaan ketika bertemu Kedah dalam aksi separuh akhir Piala FA tempohari, namun itu tidak menjejaskan persiapan pasukannya.

“Kita kehilangan Mohd Badhri (Radzi) tetapi saya tidak ada masalah mencari pengganti beliau. Indra Putra (Mahayuddin) akan mengemudi jentera tengah Kelantan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya,” katanya dalam sidang media pagi semalam.

“Pertemuan ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan sememangnya memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua. Memang kita mengharungi minggu yang memenatkan tetapi saya berharap itu tidak menjejaskan aksi pemain di sini.

“Saya lihat pasukan lawan mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan kita harus menyekat pergerakan pemain mereka. Kalau itu mampu kita lakukan, saya fikir kita tidak ada masalah untuk meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Menurut pengendali dari Croatia itu, kemenangan itu cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebelum menghadapi Ayeyawady United dari Myanmar pada perlawanan terakhir di Kota Bharu pada 8 Mei ini.

Pertemuan Navibank Saigon menentang Kelantan akan berlangsung jam enam petang waktu tempatan (tujuh malam waktu Malaysia).

Sementara itu, Ketua Jurulatih Navibank Saigon, Pham Cong Loc berkata, barisan pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk menewaskan mereka di tempat sendiri.

“Sama seperti Kelantan, kami juga mahu memenangi perlawanan ini. Kami tidak mahu menyempitkan laluan kerana hanya kemenangan sahaja dilihat menjamin peluang kami untuk ke pusingan kedua,” katanya.

Untuk rekod, selepas empat perlawanan, Kelantan, Navibank Saigon dan Ayeyawady United masing-masing kini berkongsi tujuh mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan bolos. — Sinar Harian

Related Posts

One Response to Piala AFC: Indra Putra ketuai cabaran Kelantan hadapi Navibank

  1. trw dah menang 2-1 dengan Navibank dan rengking 1 dlm kempulan H serta layak ke pusengan ke2 .Ini sungguh membangakan rakyat Kelantan harap dapat sokongan seluruh rakyat Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>