Manchester United sekadar seri ketika Chelsea dan Arsenal menang besar
SIR Alex Ferguson melenting selepas cemburu melihat pesaing lain (Chelsea dan Newcastle) merakamkan kemenangan dengan enam jaringan ketika barisan didiknya, Manchester United hanya sekadar mampu meraih satu mata ketika menentang Fulham, kelmarin.
Tambah perit, wajahnya merah padam apabila Nani gagal menyudahkan sepakan penalti pada lewat babak permainan di Craven Cottage dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berkesudahan seri 2-2 dalam aksi penuh dramatik.
Tidak cukup dengan itu, pengendali berbangsa Scotland itu juga dilaporkan berdepan hukuman denda 1,000 (RM5,000) kerana memboikot siaran televisyen British, BBC di bawah peraturan baru.
Fergie tidak dapat mempercayai apa dilihatnya apabila Nani yang hadir selaku pemain gantian gagal menyudahkan penalti pada minit ke-87 ketika United mendahului 2-1 sebelum Brede Hangeland menyamakan kedudukan untuk tuan rumah pada minit terakhir perlawanan.
“Anda membuang dua mata berharga dengan gelagat seperti ini ketika berpeluang mendahului 3-1,” kata pengurus The Red Devils itu.
Ferguson percaya, sepakan penalti Nani yang ditampan penjaga gol Fulham, David Stockdale, menjadi titik tolak permainan itu dan dia meluahkan rasa terkejut apabila pemain sayap Portugal itu mengambil sepakan ketika Ryan Giggs turut berada di dalam padang.
Dan dengan Chelsea berada pada tahap prestasi terbaik selepas menang dua perlawanan pertama dengan keputusan 6-0, Ferguson sedar tercicir jauh daripada pasukan juara bertahan itu di peringkat awal akan memberi kesan besar.
“Kami tak sepatutnya tercicir mata dan kami tercicir mata di sini. Kami tidak dapat lari darinya. Ada peluang untuk mendahului 3-1 dengan baki tiga minit tetapi kami tidak mengambilnya.
“Saya tak rasa kami layak untuk mendahului 2-1 tetapi jika mendapat peluang untuk menamatkan permainan dengan sepakan penalti itu, ia sepatutnya digunakan.
“Ia satu peluang yang terlepas, dan ini memberi semangat kepada mereka, membuatkan penyokong bersorak dan akhirnya mereka mendapat gol penyamaan. Untuk lebih adil, mereka bermain lebih baik di babak kedua.
“Saya rasa Ryan (Giggs) sepatutnya mengambil sepakan penalti itu. Dalam perlawanan tempat sendiri menentang Tottenham dulu, Ryan menjaringkan dua sepakan penalti walaupun Nani turut berada di dalam padang.”